Tutup

Kemelut berakhir jika Anwar-Azmin beralah, kata penganalisis politik

Kemelut berakhir jika Anwar-Azmin beralah, kata penganalisis politik
Kemelut antara pemimpin nombor satu dan dua dalam PKR akan dapat ditangani jika Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Datuk Seri Mohamed Azmin Ali sama-sama beralah, ujar Penganalisis Politik, Prof Dr Hamidin.
KUALA LUMPUR: Kemelut antara pemimpin nombor satu dan dua dalam PKR akan dapat ditangani jika Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Datuk Seri Mohamed Azmin Ali sama-sama beralah, ujar Penganalisis Politik, Prof Dr Hamidin Abdul Hamid.

Katanya, ketika ini tidak nampak tanda-tanda krisis berkenaan akan reda.
"Persoalannya bagaimana PKR gagal sebagai sebuah parti yang mempunyai disiplin organisasi yang jelas. Saya tidak lihat buat ketika ini akan berlaku satu penyelesaian. Namun ia bergantung kepada sejauh mana kedua-dua pemimpin mampu beralah dan memilih kepentingan parti sebagai landasan untama kerana mereka adalah parti tunjang dalam parti pemerintah," katanya kepada Astro AWANI pada Ahad.

Jelasnya lagi, ia penting kerana rakyat serta anggota komponen dalam Pakatan Harapan (PH) sedang melihat persengketaan berkenaan.
"Segala apa yang berlaku dalam PKR bukan sahaja diperhatikan rakyat Malaysia, tetapi yang lebih penting lagi yang diperhatikan dalam komponen-komponen PH, akan mengganggu kelicinan PH sebagai sebuah kerajaan," tambah beliau lagi. 

Pertemuan kem Azmin di Hotel Renaissance pada Ahad juga menambahkan lagi ketegangan antara kedua-dua kem. 

"Kalau lihat kepada pertemuan di Renaissance dan hari ini adalah kegagalan kepada PKR untuk bergerak sebagai sebuah institusi yang baru sahaja melaksanakan kongresnya dan berlaku pula cabaran-cabaran daripada dalam.

"Ini juga menunjukkan apa yang berlaku antara Azmin dan Anwar sehari sebelum kongres itu tidak memberi sebarang makna dan tidak meredakan konflik yang berlaku antara dua pemimpin ini," ujarnya.

Pada Ahad, Azmin tidak kelihatan pada hari terakhir Kongres Nasional parti di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MiTC).

Sebaliknya, beliau dan kemnya mengadakan Majlis Makan Malam Apresiasi Perwakilan Kongres Keadilan 2019 dan taklimat Wawasan Kemakmuran Bersama di Hotel Renaissance Kuala Lumpur.


Tag: Anwar Ibrahim, Azmin Ali, Pakatan Harapan, PKR, Kuala Lumpur



Komen Anda?

* Klik pada "Sort by" untuk kemaskini komen

PENAFIAN:
Astro AWANI tidak bertanggungjawab terhadap pendapat yang diutarakan melalui artikel ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri. Terima kasih.