Tutup
announcement
NOTIS
Beralih ke pengalaman baharu laman web Astro AWANI. Klik di sini!

Kemelut politik berlanjutan, Sultan Johor beri amaran bubar DUN

Kemelut politik berlanjutan, Sultan Johor beri amaran bubar DUN
'Jika berlaku lagi perebutan kuasa di kalangan wakil rakyat, saya akan bubarkan Dewan Negeri Johor serta merta' - titah Sultan Johor. - Foto Instagram/officialsultanibrahim
KUALA LUMPUR: Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar hari ini menzahirkan rasa kecewa baginda susulan kemelut politik yang masih berlanjutan di negeri itu.

Menerusi muat naik status di akaun media sosial baginda, Sultan Ibrahim bertitah masih ada pemimpin yang gila kuasa dan terus merebut jawatan demi kepentingan diri. 

Ujar baginda, dalam keadaan rakyat yang sedang susah, wakil rakyat dilihat langsung tidak peduli dan sanggup menambah derita rakyat.

“Saya tidak boleh tengok rakyat saya menderita, dan tidak akan biarkan negeri saya dikucar-kacirkan.
“Saya telah bersumpah untuk menjaga dan membela nasib rakyat dan negeri saya pada setiap masa.

“Jika berlaku lagi perebutan kuasa di kalangan wakil rakyat, saya akan bubarkan Dewan Negeri Johor serta merta,” titah baginda.
Justeru, baginda akan memberi peluang kepada rakyat negeri Johor untuk memilih wakil mereka yang baharu.

Malah, baginda berharap supaya rakyat dapat memilih pemimpin yang betul-betul ingin berkhidmat untuk rakyat dan negeri dan bukan untuk parti atau diri sendiri.

Baginda mengakhiri muat naik status tersebut dengan sepotong hadis Rasulullah SAW:

Rasulullah ditanya tentang mereka yang meminta untuk memegang kepimpinan lalu Rasulullah bersabda:

Kami tidak memberikan kepimpinan kepada mereka yang memintanya, dan bukan pada mereka yang tergila-gilakan jawatan kepimpinan.” (Sahih al-Bukhari, no: 7149)


Tag: Sultan Ibrahim, Sultan Johor, media sosial, politik, bubar DUN Johor, amaran Sultan Johor



Komen Anda?

* Klik pada "Sort by" untuk kemaskini komen

PENAFIAN:
Astro AWANI tidak bertanggungjawab terhadap pendapat yang diutarakan melalui artikel ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri. Terima kasih.