Kemelut Tabung Haji: Hasil idea yang bermasalah

Kemelut Tabung Haji: Hasil idea yang bermasalah
Tujuan Tabung Haji ditubuhkan adalah berkaitan dengan aspek kewangan bakal-bakal haji, bukannya urusan pengangkutan dan penginapan. - Gambar hiasan
PERDEBATAN dan tuduh menuduh yang berlaku daripada pelbagai pihak berkenaan isu Tabung Haji (TH) sedang hangat terutama sekali di media sosial.

Ada yang mempersoalkan sama ada hibah sebanyak 1.25 peratus yang dibayar baru-baru ini oleh pihak TH - iaitu yang paling rendah dalam sejarahnya, adalah akibat penipuan pengurusan TH yang lepas atau semata-mata akibat kegagalan pengurusan TH sekarang.

Saya sendiri lebih cenderung untuk menyerahkan isu sama ada berlaku penipuan atau kesalahan jenayah oleh pihak pengurusan TH sebelum ini kepada pihak polis yang masih melakukan penyiasatan.

Sebaliknya, saya mahu berbincang berkenaan isu yang lebih fundamental iaitu adakah objektif kewujudan dan operasi TH secara umum selari dengan ajaran Islam atau satu ide yang bermasalah.

Hakikatnya ialah sebelum TH ditubuhkan, orang Islam di Malaysia tidak menghadapi apa-apa masalah untuk mengerjakan haji kerana telah wujud individu dan syarikat di sini dan di Tanah Suci yang akan mengatur semua urusan bakal haji.

Tujuan TH ditubuhkan tidak ada kena mengena dengan isu urusan haji seperti pengangkutan dan penginapan sebenarnya tetapi adalah berkaitan dengan aspek kewangan bakal-bakal haji.

Apa yang telah berlaku ialah rakyat Malaysia yang berkemampuan dari segi kewangan akan menyimpan duit mereka di dalam tabung peribadi sebagai persediaan untuk menunaikan fardu haji.

Bagi yang tidak mampu menabung secukupnya dan gagal melaksanakan haji, mereka dimaklumkan bahawa mereka tidak berdosa kerana rukun Islam yang kelima ini hanya wajib dilaksanakan bagi yang berkemampuan.

Sebenarnya langkah menyimpan duit dalam tabung peribadi ini dilakukan sejak zaman Rasulullah SAW lagi dan juga di zaman para sahabat baginda dan zaman tabiin selama lebih dari 1,400 tahun.

Kaedah ini tidak pernah dikritik kerana tidak dirasakan bermasalah.

Yang penting ialah individu yang menabung itu membayar zakat di atas tabungan mereka jika sudah cukup nisab dan haul.

Namun Prof Diraja Ungku Aziz, seorang ahli ekonomi mempunyai pandangan yang berbeza.

Beliau yang dilatih dalam tradisi ilmu ekonomi barat menekankan bahawa semua penabung ini dalam keadaan kerugian akibat menanggung 'kos melepas’ (opportunity cost).

Kerugian yang dimaksudkan ialah kegagalan mendapat pulangan jika wang simpanan tersebut dilaburkan dalam aktiviti perniagaan.

Wang simpanan ini boleh juga mendapat pulangan kadar bunga jika di simpan dalam akaun simpanan tetap (fixed deposit).

Tetapi cara ini adalah haram dari segi syariah. Alternatif yang halal ialah pelaburan di dalam aktiviti perniagaan untuk mendapat keuntungan.

Namun masalahnya ialah akan wujud risiko di mana wang tersebut boleh hilang jika aktiviti perniagaan gagal.
Akibatnya orang yang menyimpan wang tadi mungkin tidak akan dapat melakukan ibadat haji.

Cadangan daripada Prof Ungku Aziz untuk mengatasi masalah risiko ialah kerajaan menjadi penjamin kepada aktiviti pelaburan tersebut.

Pencarum dalam TH tidak perlu bimbang kerana kerajaan berjanji akan menggantikan wang penyimpan jika ia susut atau hilang akibat daripada kerugian pelaburan.

Dalam erti kata yang lain, jika pelaburan mendapat keuntungan, pencarum akan mendapat hibah yang mungkin amat lumayan.

Tetapi jika berlaku kerugian besar, maka rakyat Malaysia (termasuk yang tidak mencarum di dalam TH dan berpendapatan rendah) akan bersama-sama menanggung kerugian tersebut untuk memastikan pencarum tidak kerugian.

Persoalannya ialah adakah ini satu kaedah yang bertepatan dengan Islam?

Bagi saya kaedah tersebut jelas adalah tidak adil kepada rakyat yang bukan pencarum dan oleh itu tidak bertepatan dengan ajaran Islam.

Oleh kerana itulah Rasulullah SAW, para sahabat dan para tabiin tidak pernah mencadangkan konsep yang dicadangkan oleh Ungku Aziz.

Oleh kerana itu Rasullullah SAW dan para Khalifah tidak pernah mencadangkan simpanan bakal haji dikumpulkan dan dilaburkan dalam aktiviti perniagaan dengan kerajaan menjadi penjamin kepada pelaburan tersebut dengan menggunakan dana Baitul Mal yang telah pun wujud pada masa itu.

Dalam erti kata yang lain, ketiadaan usaha yang dicadangkan oleh Prof Ungku Aziz bukanlah kerana Rasulullah SAW dan para sahabat adalah tidak sebijak beliau tetapi adalah semata-mata kerana idea beliau adalah tidak selari dengan ajaran Islam dan bermasalah sebenarnya.

Hakikat bahawa idea Ungku Aziz bermasalah tidak disedari oleh kebanyakan orang pada mulanya apabila TH berkembang menjadi tabung pelaburan yang besar yang dikatakan kebanggaan kepada umat Islam di Malaysia.

Pada tahun 2017, jumlah aset nya ialah RM64 bilion. Tetapi sebenarnya ini bukan satu yang kejayaan yang hebat.

Sesiapa sahaja yang ada ilmu pelaburan yang asas (basic) akan tertarik untuk melabur di dalam tabung yang dijamin sepenuhnya oleh kerajaan.

Bahkan jumlah pelaburan yang paling banyak datang daripada golongan yang kaya raya dan bukannya bakal haji.

Satu laporan TH yang dibentangkan di Parlimen baru-baru ini menunjukkan 50 peratus daripada jumlah keseluruhan caruman adalah daripada 1.3 peratus pencarum sahaja.

Bahkan ada individu yang mencarum sebanyak RM190 juta.

Saya difahamkan juga bahawa mungkin ada pencarum yang kaya telah meminjam dana daripada institusi perbankan pada kadar bunga yang rendah dan mencarum ke dalam TH kerana pulangan dari TH adalah lebih tinggi berbanding kadar bunga tersebut.

Ini bermakna rakyat Malaysia (termasuk yang miskin dari kalangan B40 ) menjadi penjamin bagi golongan kaya yang mendapat keuntungan yang sangat lumayan setiap tahun tanpa sebarang risiko.

Sebagai contoh, pencarum yang berjumlah RM190 juta itu telah mendapat pulangan sebanyak RM15.2 juta pada tahun 2014 kerana kadar hibah pada tahun itu adalah 8 peratus tanpa menanggung sebarang risiko.

Dalam erti kata yang lain, Tabung Haji layak ditukar nama kepada 'Tabung Untuk Golongan Kaya Melabur Tanpa Risiko’.

Tetapi dalam dunia perniagaan, keadaan boleh berubah. Jarang sekali berlaku keadaan di mana pelaburan sentiasa mendatangkan keuntungan yang tinggi.

Syarikat masyhur seperti Blackberry, Nokia, IBM, General Motors, General Electric dan Sony semua telah mengalami kerugian.

Oleh itu tidak hairanlah kenapa TH juga akhirnya telah menghadapi keadaan penurunan keuntungan atau kerugian.

Itulah yang kemungkinan besar juga telah berlaku pada beberapa tahun yang lepas kepada TH berdasarkan satu surat yang dihantar oleh pihak Bank Negara Malaysia (BNM) kepada pengurusan TH pada 23 Disember 2015.

Dalam surat tersebut, Gabenor BNM, Tan Sri Zeti Akhtar Aziz memberi amaran kepada TH bahawa TH telah membayar hibah (dividen dan bonus) dengan menggunakan rezab caruman semenjak tahun 2012 lagi.

Akibatnya rezab TH berkurangan dan menjadi negatif dan oleh itu nilai aset pasaran TH pada masa itu adalah tidak berupaya untuk membayar semua tanggungan kewangannya.

Tan Sri Zeti seterusnya memaklumkan pihak TH bahawa jika pencarum semua ingin mengeluarkan caruman mereka akibat daripada masalah kewangan TH di masa akan datang, kerajaan akan terpaksa memberi bantuan kewangan kepada TH kerana itu adalah jaminan kepada para pencarum selaras dengan Seksyen 24 Akta Tabung Haji 1995.

Tambahan pula Tabung Haji memiliki Bank Islam dan krisis keyakinan kepada TH akan memberi kesan kepada Bank Islam sekali gus memberi kesan kepada sistem kewangan negara.

Sesiapa yang memahami cara sistem perbankan negara beroperasi akan faham tentang kebimbangan Tan Sri Zeti berkenaan isu ini.

Ini kerana hakikat sebenar ialah sistem kewangan negara amat senang untuk dilanda krisis keyakinan kerana wang fizikal didalam sistem kewangan hanyalah antara 3 hingga 5 % sahaja sementara yang selebihnya tidak wujud dari segi fizikal.

Sekarang ini satu pasukan baru sedang menguruskan Tabung Haji. Keadaan kewangan TH dilaporkan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal-Ehwal Agama), Datuk Seri Dr Mujahid Yusof Rawa dalam keadaan tenat akibat daripada keputusan-keputusan yang lepas.

Namun dengan menggunakan beberapa kaedah kewangan di mana sebuah firma SPV bernama Urusharta Jamaah Sdn Bhd (UJSB) mengambil alih aset TH yang bermasalah dan menerbitkan sukuk dan saham (redeemable preference shares) berjumlah RM19.9 billion yang diserahkan kepada TH maka keadaan TH dapat diletakkan dalam keadaan dimana nilai aset TH adalah sama dengan tanggungan TH.

Ini membolehkan TH membayar hibah sebanyak 1.25 % kepada pencarum.

Tetapi langkah ini juga memerlukan kerajaan melalui Kementerian Kewangan menyuntik dana berjumlah RM17.8 bilion dimana pembayaran pertama sebanyak RM500 juta akan dibuat pada tahun depan dan seterusnya sebanyak RM1.73 bilion setiap tahun selama sembilan tahun atau sehingga semua sukuk itu ditebus semula.

Jelaslah bahawa fokus utama pengurusan TH sekarang adalah supaya pencarum tidak marah atau kecewa dengan masa depan kewangan TH.

Ini adalah kerana pengurusan TH sekarang juga sedar bahawa jika tiada hibah dibayar, ramai pihak akan menuduh bahawa pengurusan TH yang baru telah gagal.

Ini sudah tentu akan memberi kesan politik yang negatif kepada kerajaan PH dan juga kepada Mujahid. 

Untuk tujuan itu, maka rakyat Malaysia kesemuanya (melalui suntikan dana oleh Kementerian Kewangan) terpaksa berkorban sebanyak RM17.8 bilion.

Hanya Allah SWT sahaja yang mengetahui sama ada keadaan kewangan TH akan dapat dipulihkan di masa akan datang.

Tetapi apa yang jelas ialah rakyat Malaysia (termasuk yang dalam kategori B40) yang membayar cukai kepada kerajaan telah terpaksa menyumbang RM17.8 bilion untuk memastikan wang pencarum (yang jumlah paling besar adalah dari golongan kaya) kekal selamat.

Rakyat Malaysia juga komited untuk terus menyumbang dana di masa akan datang untuk memastikan golongan ini akan terus mendapat habuan hibah.

Kita semua peka kepada pesanan Allah SWT di dalam Surah Al Hasyr 59:7: “...supaya harta itu jangan beredar di antara orang-orang kaya saja di antara kamu.”

Dalam erti kata lain, kita sepatutnya mengelak daripada mewujudkan keadaan di mana yang kaya terus kaya dan yang miskin terus miskin.

Malangnya sekarang ini TH sedang membantu mewujudkan keadaan di mana golongan kaya raya menjadi bertambah kaya melalui caruman yang dijamin rakyat jelata yang termasuk dari kalangan mereka golongan miskin dan B40.

Kita perlu menerima hakikat bahawa TH adalah institusi yang memaksa rakyat menanggung sebarang kerugian yang mungkin berlaku kepada caruman golongan kaya.

Persoalannya ialah, adakah kita masih mahu terus kekal dengan keadaan yang jelas tidak selari dengan ajaran Islam ini atau mahu membuat perubahan yang mungkin pahit untuk ditelan oleh umat Islam di Malaysia?


* Prof Nazari Ismail ialah mantan Dekan Fakulti Perniagaan dan Perakaunan Universiti Malaya. Beliau juga aktif menggerakkan usaha pemulauan dan sekatan (Boycott, Divestment, Sanctions – BDS) menentang kekejaman Zionis Israel terhadap rakyat.

** Pandangan yang diutarakan dalam artikel ini adalah pendapat penulis dan tidak berkaitan dengan Astro AWANI.