Satu lagi Pilihan Raya Kecil (PRK) kerusi Parlimen Kimanis, Sabah akan diadakan tidak lama lagi berikutan keputusan Mahkamah Persekutuan mengekalkan pembatalan kemenangan penyandangnya, Datuk Seri Anifah Aman.

Agensi berita Bernama melaporkan, Mahkamah Persekutuan sebulat suara mendapati mahkamah pilihan raya tidak melakukan kesilapan dalam keputusannya.

Panel yang diketuai Ketua Hakim Negara, Tengku Maimun Tuan Mat turut mendapati berlaku pelbagai salah laku dan pelanggaran undang-undang sewaktu pilihan raya di kerusi itu.

Oleh itu, perkara berkenaan menjejaskan keputusan pilihan raya di kerusi itu, katanya.

Anifah memenangi kerusi itu dengan majoriti 156 undi menewaskan calon Warisan dalam Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).

Pada 16 Oktober lalu, Mahkamah Pilihan Raya Kota Kinabalu Lee Heng Cheong mengisytiharkan kemenangan Anifah yang juga bekas Menteri Luar sebagai tidak sah dan terbatal.– BERNAMA