Kemenangan Ahli Parlimen Kimanis, Datuk Seri Anifah Aman pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) di Parlimen Kimanis adalah terbatal.

Hakim Mahkamah Pilihan Raya, Lee Heng Cheong pada hari ini, membuat keputusan berkenaan selepas pemeriksaan semula ke atas peti-peti undi mendapati terdapat unsur-unsur manipulasi termasuk penambahan kertas undi secara tidak sah yang melanggar undang-undang pilihan raya.

Keputusan tersebut sekaligus memperlihatkan Anifah terpaksa mengosongkan kerusi Ahli Parlimen P. 176 Kimanis yang dimenanginya pada PRU14 lalu.

Bagaimanapun pihak Anifah mengemukakan rayuan kepada Mahkamah Persekutuan.

Terdahulu, petisyen dikemukakan oleh calon PRU Kimanis dari Parti Warisan Sabah (Warisan) Datuk Karim Bujang terhadap Anifah sejak bulan Jun tahun lalu.

Mahkamah mengarahkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) supaya membayar Karim sebanyak RM100, 000 atas keputusan mengikut Seksyen 32 b Akta Pilihan Raya 1954 atas kesalahan Pelanggaran atau Tidak Kepatuhan Undang-Undang Pilihan Raya.

Karim diwakili oleh peguam Frederick Chang Tyn Chi, Wilson Lai Wai Shing dan Syaiful Sufyyan Sidin.

Manakala Anifah diwakili Ansari Abdullah, Roland Cheng, Peter Lee, Safrin Salleh, Riduandin Borhan, Tengku Fuad Tengku Ahmad, Mohd Amirul Amin dan Wilson Chang.

Sementara itu, mengikut keputusan mahkamah pada hari ini, dua petisyen terhadap Anifah iaitu
berlaku rasuah dan amalan korupsi gagal dibuktikan dengan hakim mengarahkan supaya pihak pempetisyen supaya membayar kos RM105, 000.

Menurut peguam Anifah, Ansari ketika ditemui di Mahkamah Kota Kinabalu hari ini, dua petisyen yang dikemukakan kepada anak guamnya gagal kerana tidak dapat dibuktikan.

"Walau macam manapun mahkamah mendapati SPR ingkar dan tidak mematuhi peraturan perjalanan pilihan raya gagal mematuhi borang 13 dan 14, mereka didapati melanggar peraturan dan dengan itu mahkamah berpendapat SPR telah gagal melaksanakan pilihan raya mengikut undang-undang.

"Mahkamah telah memutuskan SPR membayar kos kepada Datuk Karim sebanyak RM100, 000, keputusan pilihanraya dibatalkan bagaimanapun kita telah maklum dengan hakim pilihanraya kita telah diberi arahan untuk menfailkan rayuan kepada mahkamah persekutuan walaupun keputusan itu bukan melibatkan anak guam kami secara langsung tetapi secara tidak langsung harus mengosongkan kerusi," katanya.

Sementara itu, dalam PRU14 lalu, Anifah yang juga bekas Menteri Luar itu memenangi kerusi di Parlimen P. 176 Kimanis dengan majoriti 156 undi dengan keputusan melibatkan 11,942 undi manakala Karim sebanyak 11,786 undi.