Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) hari ini mengakui terdapat insiden gangguan bekalan bagi beberapa jenis ubat disebabkan masalah pengilangan yang dihadapi oleh syarikat pengeluar.

Dalam kenyataan hari ini Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata selain itu terdapat juga peningkatan bilangan pesakit yang datang ke fasiliti KKM pada tahun ini.

"Peruntukan yang mencukupi bagi perolehan ubat-ubatan bagi tahun ini telah disalurkan kepada semua hospital berdasarkan jumlah perbelanjaan pada tahun lepas," katanya.

Noor Hisham berkata, susulan itu, bagi memastikan bekalan ubat mencukupi, tindakan secara close monitoring dan juga mengenal pasti sumber bekalan alternatif bagi ubat-ubatan yang terlibat telah diambil.

"Peruntukan kewangan tambahan untuk pembelian ubat-ubatan juga telah diagihkan kepada hospital-hospital bagi memastikan bekalan ubat-ubatan kepada pesakit mencukupi dan tidak membebankan pesakit," katanya.

Beliau berkata demikian bagi mengulas satu artikel bertajuk "Drug Shortage Ails Patients in Government Hospitals" yang disiarkan dalam The Malaysian Insight bertarikh bertarikh 14 Ogos.

Menurut Artikel tersebut, terdapat masalah bekalan ubat-ubatan di hospital kerajaan dengan bekalan ubat-ubatan dibekal untuk tempoh kurang daripada sebulan dan seterusnya membebankan pesakit kerana perlu kerap ke hospital untuk mengambil bekalan ubat susulan.

Katanya polisi pembekalan ubat-ubatan di fasiliti KKM adalah untuk tempoh sebulan telah dilaksanakan sejak 2016 untuk memastikan kefahaman serta kepatuhan pesakit terhadap ubat-ubatan yang diberi, dan ia juga bagi mengelakkan pembaziran.

Bagi pesakit yang menerima bekalan ubat separa, beberapa perkhidmatan tambah nilai telah disediakan untuk memudahkan pesakit mendapat bekalan ubat. Antara perkhidmatan itu ialah Sistem Kad Temujanji, SMS dan Ambil, Locker4u (yang boleh didapati di beberapa negeri) dan lain-lain.

"Untuk memastikan bekalan ubat yang berterusan, keperluan peruntukan sentiasa dikaji dan sebarang tambahan peruntukan akan disalurkan dari semasa ke semasa," katanya.

-- BERNAMA