Kementerian Kesihatan Malaysia sedang mempertimbangkan untuk memberikan imunisasi baharu, termasuk membabitkan golongan dewasa berikutan peningkatan mendadak kes jangkitan difteria.

Timbalan Ketua Pengarah Kementerian Kesihatan Datuk Dr Jeyaindran Sinnadurai berkata, imunisasi lengkap baharu yang diambil sekali lagi adalah untuk golongan dewasa dan dikatakan boleh mengurangkan risiko jangkitan serta komplikasi jangkitan difteria.

Beliau berkata, pihak kementerian telah merekodkan lebih 21 kes jangkitan difteria di negara ini sehingga semalam, dengan yang terbaru dilaporkan di Kuala Kangsar, Perak.

Menurutnya, terdapat peningkatan ketara dalam bilangan rakyat yang melawat hospital dan klinik kerajaan untuk mendapatkan imunisasi susulan berikutan peningkatan kes difteria di seluruh negara.

"Pihak kementerian mendapati bahawa ada kenaikan yang sangat tinggi dalam bilangan orang yang datang untuk mendapat imunisasi.

"Saya nak kongsi di sini bahawa ibu bapa tidak perlu risau kerana setiap hospital dan klinik kerajaan mempunyai vaksin yang mencukupi untuk rakyat Malaysia mendapatkan imunasisi yang sesuai," katanya dalam sidang media selepas melancarkan Persidangan Pulmonary Bypass ke-9 di sini hari ini.

Datuk Dr Jeyaindran, berkata, pihak kementerian juga menegaskan bahawa setiap ibu bapa yang masih belum menghantar anak anak mereka, terutama bayi dan kanak-kanak bawah umur tujuh tahun untuk menjalani imunisasi supaya segera ke hospital dan klinik yang berdekatan segera.

Menurutnya, tahap imunisasi berkumpulan atau herd immunisation dalam kalangan masyarakat telah berkurang kerana terdapat segolongan besar dari mereka yang tidak pernah mendapat imunisasi.

"Ini adalah kesan daripada sesetengah ibu bapa yang tidak mahu memberi imunisasi kepada anak-anak mereka," katanya lagi.

Selain itu, masyarakat juga terdedah kepada risiko penyakit berjangkit dari pendatang asing dari negara yang tidak mewajibkan imunisasi kerana mereka mungkin boleh pembawa penyakit.

Datuk Dr Jeyaindran juga menyatakan hasrat kementerian untuk membawa imunisasi ke kawasan-kawasan terpencil di seluruh negara terutama sekali di Sabah dan Sarawak.

Walaupun bakteria difteria boleh menjangkiti orang dewasa, kanak-kanak lebih terdedah kepada risiko komplikasi seperti kecacatan dan kematian sebanyak 20 peratus lagi.

Menurut status terkini kes difteria di laman web Kementerian Kesihatan Malaysia atau laman Facebook, terdapat lima kes kematian yang melibatkan difteria dicatat dalam kalangan kanak-kanak.

Menurut kenyataan Ketua Pengarah Kementerian Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah, kanak-kanak berikut tidak pernah mendapat imunisasi lengkap dari serangan penyakit virus dan bakteria berbahaya.