Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) optimis dalam merancakkan pemantauan serta mengambil langkah tambahan dalam mengawal penularan penyakit beguk.

Menterinya, Datuk Seri Dr S. Subramaniam berkata, dari aspek sains dan teknologi, beguk ataupun kluster mumps merupakan satu gejala ringan yang biasa dan masyarakat tidak perlu gentar memandangkan pemantauan serta pemeriksaan berkala kerap dilakukan KKM, bagi memastikan ianya selamat.

Mengulas laporan 70 pelajar dan tiga guru Sekolah Menengah Agama (SMA) Kuala Lipis yang menghidap beguk sejak 20 Feb lalu, Dr Subramaniam berkata pihaknya masih menunggu laporan lengkap daripada Jabatan Kesihatan Negeri untuk mengenal pasti punca sebenar penularan penyakit itu.

Bagaimanapun katanya, beguk yang disebabkan oleh jangkitan virus "paramyxovirus" itu, mudah menjangkiti kanak-kanak yang belum mempunyai sistem imuniti tubuh yang kuat.

Justeru beliau berkata, kesedaran masyarakat bagi mengekang penularan penyakit ini perlu dipertingkatkan.

"Mereka yang mengalami simptom-simptom seperti demam, sakit kepala, sakit otot, keletihan, hilang selera makan dan bengkak serta sakit di kelenjar parotid (kelenjar air liur) tidak boleh memandang ringan dan mesti segera mendapatkan khidmat nasihat doktor," katanya.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan Program Jualan Sentuhan Rakyat Parlimen Segamat di Padang Awam Batu Anam Segamat, pada Sabtu.

Program yang digerakkan oleh Pejabat Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) Negeri bersama agensi kerajaan dan swasta termasuk Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (Fama) dan Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) itu, adalah untuk membantu mengurangkan kos sara hidup di mana kesemua barangan yang dijual menawarkan harga kira-kira 30 peratus lebih murah daripada harga pasaran.

Dalam pada itu, Dr Subramaniam yang juga Ahli Parlimen Segamat ketika diminta mengulas isu ikan sejuk beku yang dijual di pasaran, berkata, KKM turut melakukan pemantauan berkala bagi memastikan kualiti bahan basah berkenaan kekal terjamin.

Malah katanya, ikan sejuk beku ini lebih segar dan tahan lama sekaligus menyarankan budaya masyarakat juga perlu diubah seiring dengan perkembangan teknologi semasa.