Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengesahkan satu kes difteria telah dikesan di negeri Perak pada 17 Ogos lalu.

Menurut Ketua Pengarah Kesihatan Malaysia, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah dalam satu kenyataan media hari ini, seorang kanak-kanak perempuan berumur 4 tahun telah dimasukkan ke wad Hospital Taiping pada 17 Ogos lalu setelah mengalami demam, batuk dan sakit tekak sejak 12 Ogos.

Katanya, pesakit telah dirawat sebagai exudative tonsillitis dan ujian kultur swab tekak kes ini didapati positif bakteria jenis Corynebacterium diphtheria.

"Kanak-kanak ini hanya mengalami gejala yang ringan tanpa komplikasi kerana beliau telah mendapat imunisasi difteria yang lengkap.

"Kanak-kanak ini hanya diberikan rawatan antibiotik dan tanpa rawatan antitoksin dan kini beransur sembuh," kata Dr Noor Hisham.

Tambah beliau, tujuh orang yang tinggal serumah dengan kes yang sama sebelum ini, kini berada dalam keadaan sihat dan telah diberi rawatan profilaksis.

Katanya, daripada bilangan tersebut, tiga kanak-kanak yang tinggal serumah telah menerima imunisasi difteria yang lengkap manakala empat yang lain termasuk ibu bapa kanak-kanak masih dalam siasatan.

Menurut beliau, keluarga yang tinggal berdekatan juga berada dalam keadaan sihat dan mereka telah diberi rawatan profilaksis dan sebanyak 23 sampel swab tekak telah diambil daripada mereka untuk ujian makmal.

Dr Noor Hisham berkata, dua kanak-kanak daripada 38 murid di Tabika KEMAS dikesan mengalami batuk ringan dan telah diisolasi secara sukarela di rumah mereka dan mereka kini dipantau oleh anggota kesihatan.

Katanya, sampel swab tekak dua kanak-kanak itu juga telah diambil untuk ujian makmal manakala guru, pekerja dan kanak-kanak lain di tabika berkenaan adalah sihat dan tiada sebarang gejala jangkitan.

Menurut beliau, seorang kanak kanak di tabika itu dikesan tercicir imunisasi dan telah dirujuk kepada klinik Kesihatan dan pemantauan ke atas semua mereka masih diteruskan.

Dr Noor Hisham berkata, sehingga hari ini bilangan kes disahkan difteria di Malaysia meningkat kepada 28 kes termasuk lima kematian iaitu; Kedah sembilan kes dengan satu kematian, Negeri Sembilan tujuh kes dan tiada kematian, Sabah lima kes dengan tiga kematian, Melaka tiga kes dengan satu kematian, Pulau Pinang dua kes tiada kematian, Selangor dan Perak masing-masing satu kes dan tiada kematian.

Beliau menegaskan bahawa imunisasi yang lengkap mampu mencegah jangkitan dan sekiranya dijangkiti, gejala adalah ringan dan tiada komplikasi.

Katanya, ibu bapa dan masyarakat diminta memastikan anak-anak di bawah umur 7 tahun diberikan imunisasi lengkap bagi mencegah daripada dijangkiti penyakit itu.