Sektor pelancongan sempadan atau border tourism dijangka akan dapat dipertingkatkan lagi jika pembinaan sebuah jambatan yang menghubungkan Pengkalan Kubor dan Tak Bai di Thailand dapat dilaksanakan.

Menteri Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan, Datuk Mohamaddin Ketapi berkata, beliau tertarik dengan idea jambatan itu yang diutarakan pihak Thailand dan akan membawanya ke Menteri Kerja Raya untuk dibincangkan dengan lebih teliti.

"Saya diberitahu pihak Thailand sudah lama bersedia untuk membina jambatan tersebut, jadi saya berharap ini masanya kita juga bersedia.

"Jambatan itu nanti pasti akan membawa lebih ramai pelancong dari Thailand, khususnya dari kawasan sempadan kerana ia lebih memudahkan dan selesa," kata Mohamaddin.

Pihak kementerian, tambahnya, akan memberi sokongan penuh terhadap cadangan tersebut, sekali gus merealisasikannya untuk manfaat rakyat kedua-dua negara.

Beliau ditemui pada sidang media selepas sesi lawatan ke beberapa tempat menarik di sekitar Narathiwat dan Tak Bai, pada Sabtu.

Turut sama dalam sesi lawatan itu ialah Gabenor Narathiwat, Ekkarat Lessen dan isteri.

Ia menjadi sebahagian daripada agenda lawatan Mohamaddin ke Thailand sempena Pesta Sukan dan Kebudayaan Malaysia-Thailand 2019.