Kementerian Pendidikan sedang meneliti kemungkinan mengambil tindakan terhadap ketua juri dan panel pemilih usul debat Bahasa Inggeris Piala Tun Razak susulan tular isu tajuk debat yang dikatakan menyentuh sensitiviti agama.

Kementerian Pendidikan berkata hasil siasatan mendapati Ketua Juri iaitu Mohammad Aidil Ali dan Iyad Zakiy Amal, selaku panel pemilih usul, tidak membuat sebarang perbincangan atau mendapatkan pandangan awal dari Sekolah Dato' Abdul Razak (SDAR), Seremban, Negeri Sembilan di mana debat itu berlangsung.

Menurut kementerian itu, SDAR turut memaklumkan bahawa panduan Prosedur Operasi Standard (SOP) perdebatan telah diperjelaskan kepada ketua juri agar pemilihan tajuk debat tidak menyentuh sebarang sensitiviti agama, kaum, kebudayaan dan isu yang boleh menggugat keselamatan negara.

Jesteru, Kementerian Pendidikan dalam kenyataan pada Selasa berhubung isu itu berkata Jabatan Pendidikan Tinggi sedang meneliti kemungkinan untuk mengambil tindakan terhadap kedua-dua pelajar berkenaan yang merupakan pelajar salah sebuah Institusi Pendidikan Tinggi Awam (IPTA).

"KPM tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang melanggar peraturan yang telah ditetapkan secara sengaja atau tidak dalam menganjurkan program-program yang boleh mengganggu keamanan antara kaum dan agama," katanya.

Isu berkaitan Pertandingan Debat Piala Tun Razak 2019 dalam kalangan pelajar-pelajar sekolah baru-baru ini menjadi tular di laman sosial apabila antara tajuk yang diutarakan melibatkan topik-topik kontroversi berkaitan asas Islam.

Sementara itu Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (Yadim) menggesa siasatan secara menyeluruh dilakukan ke atas penganjuran Pertandingan Debat Piala Tun Razak 2019 yang mencetuskan kontroversi dengan menyentuh sensitiviti agama Islam.

"Semua pihak perlu sedar bahawa adalah menjadi tanggungjawab setiap rakyat untuk mendukung Islam sebagai agama persekutuan di negara ini serta memelihara hak semua agama lain di Malaysia dengan tidak menyentuh sebarang isu sensitif, hingga boleh mencetuskan perasaan tidak harmoni dalam masyarakat," katanya dalam satu kenyataan.

-- BERNAMA