Kementerian Pendidikan tidak pernah melantik mana-mana pegawai untuk mendapatkan sejumlah wang daripada kontraktor bagi tujuan memperoleh tender.

Menterinya Dr Maszlee Malik berkata pihaknya menerima aduan dari Johor, Kedah, Sabah dan Perak berhubung individu tertentu yang mengaku sebagai pegawai kementerian dan meminta kontraktor menyerahkan wang kepada mereka.

"Ada yang mengaku menjadi ketua setiausaha, setiausaha politik saya, lantas mereka meminta kontraktor untuk membayar sejumlah wang untuk dapatkan tender tertentu.

"Saya atau pihak kementerian, tidak pernah ada mana-mana pegawai yang diarahkan untuk mengutip sebarang wang daripada kontraktor. Jikalau ada, sila laporkan kepada pihak polis, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia dan kepada kementerian sendiri," katanya kepada pemberita di lobi Parlimen, hari ini.

Tindakan tersebut, katanya merupakan penyalahgunaan kuasa dan pihaknya menentang sekeras-kerasnya perbuatan seumpama itu.

Maszlee bagaimanapun menyatakan beliau tidak pasti dengan nilai yang terlibat hasil penipuan berkenaan.

-- BERNAMA