Kementerian Pertahanan mengambil maklum semua teguran media khususnya berhubung layanan dan kesukaran mendapatkan akses dan jawapan daripada menterinya, Mohamad Sabu.

Dalam satu kenyataan memaklumkan, sejak dilantik sebagai Menteri Pertahanan yang baharu, pihak kementerian menerima banyak permohonan media untuk mengadakan wawancara khas bersama Mohamad.

Memandangkan jadual yang agak padat dan bagi mempercepatkan proses, pihak Kementerian Pertahanan melalui Unit Komunikasi Strategik terpaksa mengatur sesi wawancara dengan pihak media secara berkumpulan.

“Sejak 28 Mei 2018 sehingga 12 Jun 2018, sebanyak lima siri wawancara telah diadakan yang melibatkan 18 agensi media termasuk media cetak, elektronik dan media atas talian.

“Manakala, beberapa siri wawancara bersama agensi media yang masih berbaki akan menyusul, namun tertakluk kepada jadual menteri,” katanya.

Berhubung isu kawalan keselamatan yang ketat, pihak kementerian telah memaklumkan kepada pengiring rapat untuk membenarkan rakyat bergambar dengan menteri pertahanan, namun masih menitikberatkan faktor keselamatan.

Mengulas isu jawapan balas daripada menteri pertahanan terhadap soalan melalui aplikasi WhatsApp peribadinya, pihak kementerian ingin memaklumkan ada isu yang perlu diteliti dan mendapatkan pandangan dari pihak berkaitan terlebih dahulu sebelum sebarang reaksi dikeluarkan.

“Pihak media dinasihatkan untuk maklum lebih awal dan menggunakan saluran yang betul sekiranya mahu menemu bual menteri pertahanan.

“Kementerian sentiasa bersedia dan terbuka untuk membantu pihak media bagi memastikan setiap agensi media dapat memberikan laporan yang terbaik,” katanya.