Kementerian Pertahanan hari ini membuat laporan berhubung 14 lagi projek pertukaran tanah (land swap) kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Pegawai Tugas-Tugas Khas Menteri Pertahanan, Mohd. Nasaie Ismail berkata ia seperti dilaporkan oleh Jawatankuasa Siasatan Tadbir Urus, Perolehan dan Kewangan Kerajaan (JKSTUPKK) baru-baru ini.

"Laporan kepada SPRM berkenaan adalah kesinambungan daripada laporan yang telah dibuat kementerian pada 21 Februari lalu melibatkan projek yang terletak di Paloh, Johor dan Hutan Melintang, Perak.

"Terdapat kes yang mana projek terbabit menghadapi masalah kelewatan sehingga 11 tahun untuk disiapkan.

"Hasil siasatan menganggarkan kerajaan telah rugi sebanyak RM515.21 juta berdasarkan kepada perlanjutan masa projek yang gagal disiapkan segera, kontrak-kontrak tambahan yang tidak termasuk dalam perancangan dan penetapan nilai tanah gentian yang lebih rendah daripada harga semasa yang dinilai oleh Jabatan Penilaian dan Perkhidmatan Harta (JPPH)," katanya dalam satu kenyataan di sini, pada Khamis.

Difahamkan, projek yang menghadapi masalah kelewatan sehingga 11 tahun itu melibatkan Projek Penswastaan Kem Transit dan Kem Rejimen 502 Askar Wataniah, Kuala Lumpur.

Land Swap merupakan satu kaedah pembangunan kem-kem tentera, perumahan anggota tentera dan fasiliti-fasiliti lain yang dibiayai melalui pertukaran tanah milik Persekutuan yang diberikan kepada pihak swasta yang membangunkannya.

Ia adalah satu kaedah untuk menangani kekangan kewangan kerajaan di sebalik keperluan yang besar terhadap pembangunan.

Keseluruhan 16 projek land swap itu melibatkan 2,923 ekar tanah milik Persekutuan yang bernilai RM4.7 billion dan nilai projek yang sepatutnya dibangunkan adalah sebanyak RM4.8 billion.

Sehingga Disember 2018, hanya lima projek telah disiapkan, dua dalam pembinaan dan baki sembilan projek lagi sama ada gagal disiapkan atau masih dalam proses untuk ditandatangani.


Berikut senarai 14 projek pembangunan melalui kaedah land swap yang dilaporkan:

1. Projek Pembangunan Kem Markaz 11 Briged, Depot Simpanan Pertahanan dan Perbadanan Hal Ehwal Angkatan Tentera (PERHEBAT) di Serendah, pertukaran dengan tapak tanah Kem Sungai Buloh.

2. Projek Pembinaan Fasilitiu Sukan di Kem Sg Besi, Baik Pulih Rumah Keluarga Angkatan Tentera (RKAT) 6 Rejimen Askar Melayu Diraja (RAMD) Kedah, 2 Kor Artileri Diraja (KAD) Negeri Sembiulan dan 4 RAMD di Tapah, Perak. Pertukaran dengan tanah kementah DI Jalan Kuching, Mukim Batu, Kuala Lumpur.

3. Pembinaan Kem Batillion Infantri Tentera Darat di Batu Pahat, pertukaran dengan takap Kem Majidee, Mukim Plentong Johor.

4. Projek Penswastaan Kem Transit dan Kem Rejimen 502 Askar Wataniah, Kuala Lumpur.

5. Cadangan Pembangunan Rejimen 514 Askar Wataniah, Sg Putat Melaka dan Permbangunan Rumah Keluarga Angkatan Tentera (RKAT) Kem Terendak Melaka.

6. Projek Pembinaan Pusat Pengajian Pertahanan Nasional (PUSPAHANAS) di Putrajaya.

7. Projek Pembinaan 60 unit Rumah Keluarga Angkatan Tentera (RKAT) di Kem Slim, Cameron Highland, pertukaran dengan tanah Kem Brinchang.

8. Projek Pembinaan Kompleks 7 Briged Skudai. Pertukaran tanah Kem Tebrau dan Kem Penggawa Timur, Johor.

9. Projek Pembinaan Kem Logistik Tenterta Darat di Semenyih, pertukaran tanah Kem Batu Kentonmen.

10. Projek Pembinaan Kompleks Markaz 2 Divisyen Jalan Bayan Lepas, Bukit Gedung dan Sungai Ara, Pulau Pinang. Pertukaran tanah dengan Kem Batu Uban.

11. Cadangan penswastaan Kompleks Markaz Divisyen 1 di Muara Tuang, Sarawak dan Pembinaan Akademi Tentera Malaysia (ATMA iv)di Sg Besi, tukaran tanah Bukit Raja, Klang dan Palm Road, Kuching.

12. Cadangan Pembinaan Depot Peluru 71 Batalion Ordnans Divisyen di Kem Muara Tuang. Tukaran tanah kem Stampin, Sarawak.

13. Projek Cadangan Pembangunan Fasiliti di Kem Muara Tuang dan Kem Pen risen, Sarawak.

14. Projek Pembangunan Fasiliti Skuadron 323 TUDM di Bukit Lunchu ke Bukit Banang, Johor dan Pangkalan Udara, Kuantan.