Kementerian Kesihatan (KKM) mengesahkan kes keempat jangkitan virus Zika di Malaysia, di Johor Bahru, hari ini.

Pesakit merupakan suami kepada pesakit kes ketiga jangkitan virus Zika, seorang wanita hamil yang disahkan dijangkiti awal minggu ini.

Perkara ini disahkan Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah.

"Pesakit berusia 25 tahun dan merupakan suami kepada kes ketiga jangkitan Zika yang sedang hamil dan menetap di Taman Desa Harmoni, Johor Bharu.

"Pesakit, yang mengalami gejala ruam pada 2 September 2016 dan tidak menunjukkan gejala lain, telah disahkan melalui ujian makmal positif Zika," katanya dalam satu kenyataan media yang dikeluarkan, di sini, hari ini.

Menurut beliau, pesakit kini dimasukkan ke wad di sebuah hospital kerajaan di Johor untuk pemeriksaan dan siasatan lanjut.

Menerusi siasatan KKM, pesakit berulang-alik setiap hari untuk bekerja di Singapura.

KKM telah melakukan aktiviti kawalan vektor di kawasan kediaman pesakit dan semua kawasan yang pernah dikunjungi pesakit di Johor sebagai tindakan susulan.

"Sebanyak 445 buah rumah telah diperiksa, 95 premis telah dijalankan larviciding, 203 premis dilakukan semburan termal dan 870 premis dilakukan semburan ULV.

"Kadar pembiakan Aedes di kawasan tersebut menunjukkan kawasan ini masih mempunyai populasi nyamuk Aedes," katanya.

Malah, Active Case Detection telah dijalankan di lokaliti kediaman pesakit di mana didapati tidak ada sesiapa yang mempunyai simptom Zika berhampiran rumah pesakit.

Sehingga 9 September 2016, jumlah kes Zika yang disahkan di seluruh negara adalah sebanyak empat kes.

Kes pertama dilaporkan pada 1 September lalu di Klang, Selangor diikuti kes kedua di Likas, Sabah pada 3 September dan kes ketiga di Johor Bahru, Johor pada 7 September.

BACA: Zika masuk Malaysia: Wanita Klang sah dijangkiti, kes pertama di negara ini

BACA: Zika masuk Malaysia: Lelaki warga Sabah disahkan kes tempatan pertama di negara ini

BACA: Zika masuk Malaysia: Warga Sabah meninggal dunia akibat komplikasi jantung

Selain itu, pemantauan KKM juga mendapati daripada 1 September sehingga 7 September 2016, terdapat sebanyak 39 kes yang mempunyai gejala dan tanda-tanda Zika, namun kesemua mereka mempunyai keputusan ujian yang negatif.