Selama ini banyak pihak, baik dalam UMNO atau dari parti lawan mereka berpendapat, Menteri Besar Kedah, Datuk Mukhriz Mahathir dan Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin tidak boleh bekerjasama.

Malah ketika kempen pemilihan UMNO baru-baru ini juga, ada suara-suara yang mengatakan jika Mukhriz terpilih sebagai Naib Presiden, beliau satu-satunya yang tidak boleh bekerjasama dengan Khairy.

Pandangan itu lahir kerana sebelum ini, bapa Mukhriz, Tun Dr Mahathir Mohamed menyerang bapa mertua Khairy, Tun Abdullah Ahmad hingga akhirnya terpaksa menyerahkan tugas selaku Perdana Menteri kepada Datuk Seri Najib Tun Razak pada 2009.

Kerana itu, ramai yang menganggap Mukhriz dan Khairy bermusuhan biarpun dalam satu parti. Malah ramai yang percaya dengan pendapat mengatakan keduanya tidak boleh bekerjasama.

Tetapi apa yang berlaku di Pilihan Raya Kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Limau nyata jauh berbeza dengan andaian dibuat oleh broker-broker politik selama ini, Mukhriz dan Khairy saling bekerjasama demi kemenangan Barisan Nasional (BN) atau lebih tepat lagi UMNO.

Kerjasama dan kemesraan keduanya dapat dilihat dengan jelas dalam satu program anjuran Pemuda UMNO di Kuala Dulang Kecik pada Jumaat malam.

Mukhriz yang tiba kira-kira pukul 11.40 malam di program BBQ bersama anak muda tersebut disambut tidak lain tidak bukan oleh Khairy.

DUN Sungai Limau mempunyai lebih kurang 11,000 pengundi muda yang mana mereka ini dilihat akan menentukan parti mana bakal memenangi pilihan raya kecil yang bakal berlangsung 4 November nanti.

Gandingan Mukhriz dan Khairy dikatakan paling ideal untuk menawan hati golongan muda di DUN Sungai Limau kerana ia bukan sebarang PRK biarpun ia tidak akan mengubah stuktur kerajaan negeri yang diterajui BN, tetapi dalam jangka panjang, keputusannya memberi impak yang besar kepada BN dan PAS.

Kerana impak yang besar itu juga, PAS hampir setiap malam menurunkan pemimpin 'heavywieght' termasuk dari sekutu mereka dalam Pakatan rakyat.

Dan pada Jumaat, pertama kali sejak gelanggang PRK DUN Sungai Limau dibuka pada 23 Oktober lepas, Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim turun berkempen.

Kehadiran Anwar di Sungai Limau malam tadi menyebabkan kesesakan lalu lintas di beberapa tempat antaranya di Dulang Kecil, Dulang Besar dan Sungai Limau Luar.

Keadaan tersebut menyebabkan Anwar, yang hadir dalam usaha membantu PAS mengekalkan kerusi DUN Sungai Limau, terpaksa membatalkan beberapa aktiviti di Dulang Kecil yang merupakan kubu kuat BN.

Ketika tampil di Simpang Tiga Luar, Anwar menyentuh isu pelaksanaan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST), rasuah dan pembaziran melampau kerajaan.

Biarpun tidak menolak pelaksanaan GST, anggota parlimen Permatang Pauh itu menegaskan ia belum sesuai dilaksanakan kerana kerajaan didakwa masih belum dapat mengatasi masalah kebocoran dan ketirisan seperti yang dilaporkan Ketua Audit Negara 2012 baru-baru ini.

"GST adalah sebuah sistem yang baik dan saya akuinya. Tetapi, sebelum melaksanakannya, kerajaan terlebih dahulu perlu menangani isu rasuah, pembaziran melampau yang merugikan jutaan bilion ringgit, wang rakyat dan memperbaiki kualiti taraf hidup rakyat," katanya

Isu penajaan tiga kumpulan artis K-Pop yang berjumlah RM1.6 juta turut dibidas Anwar dalam ceramahnya yang juga kemunculan pertama dalam kempen di Sunagi Limau.

"Mereka habiskan berjuta untuk konsert itu. Ini yang kami katakan, kerajaan berbelanja besar," katanya yang turut menyeru agar penduduk di DUN tersebut agar membuat pilihan yang tepat pada 4 November nanti.

Kerusi DUN Sungai Limau kosong selepas wakil rakyatnya yang juga bekas Menteri Besar Kedah, Tan Sri Azizan Abdul Razak meninggal dunia pada 26 September lalu.

Azizan adalah penyandang kerusi DUN itu sejak pilihan raya umum 1995.

Pilihan raya kecil kali ini menyaksikan pertarungan satu lawan satu antara calon BN, Dr Ahmad Sohaimi Lazim dengan calon PAS, Mohd Azam Abd Samat. Hari membuang undi adalah pada 4 November ini.