Semua rakyat di negara ini diminta untuk memainkan peranan masing-masing dalam usaha menyokong dan menjayakan matlamat Kempen Beli Barangan Malaysia.

Pengerusi Eksekutif Institut Agro Usahawan (iGrow), Nordin Abdul Malek berkata, usaha itu tidak akan berjaya tanpa sokongan baik usahawan tempatan dan rakyat.

"Kita lihat sudah ada trend rakyat Malaysia menyokong produk tempatan terutamanya sektor pelancongan domestik sebelum pandemik ini lagi.

"Walau bagaimanapun, susulan penularan wabak COVID-19, usaha ke arah mempelbagaikan tawaran lain yang mempunyai kesinambungan kepada perbelanjaan terhadap sektor lain amat digalakkan.

"Sebagai contoh, biarpun produk yang ditawarkan adalah seperti pakej percutian domestik, tetapi mereka juga boleh menawarkan produk dalam sektor lain seperti kraf tangan dan sebagainya bagi merancakkan lagi ekonomi," katanya ketika ditemubual menerusi Buletin AWANI di sini pada Ahad.

Semalam, Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin ketika melancarkan Program Jualan Mega dan Kempen Beli Barangan Malaysia peringkat kebangsaan menyarankan rakyat supaya 'berbelanjalah untuk Malaysia' bagi memulihkan dan mengekalkan daya saing ekonomi pasca pandemik COVID-19.

Dalam pada itu, Nordin berkata, perindustrian kecil dan sederhana (PKS) tempatan juga diingatkan untuk terus meningkatkan kualiti produk masing-masing bagi meningkatkan keyakinan pembeli mahupun pelabur.

"Melihat kepada situasi ketika ini, pada saya tidak ada masalah untuk jual produk ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), kita dapati bahawa produk makanan daripada PKS masih dapat permintaan tinggi dan diurus dalam talian.

"Susulan kebiasaan baharu dalam perniagaan ini telah memberi kesedaran buat PKS untuk menukar corak perniagaan dengan menambah baik mutu kualiti produk serta kreativiti untuk memasarkan produk," ujarnya lagi.