Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang dikeluarkan kerajaan sejak 18 Mac lalu sehingga 14 April ini tidak hanya memberi kesan kepada pengusaha perniagaan dan orang persendirian sahaja, tetapi juga organisasi bukan kerajaan (NGO).

Antara organisasi yang turut menerima tempias ialah Zoo Negara, di mana sebahagian daripada pendapatannya datang daripada hasil jualan tiket.

Sejak PKP dilaksanakan, Zoo Negara menerusi laman sosialnya giat mempromosikan kempen haiwan angkat atau adoption sebagai salah satu usaha untuk memastikan bekalan makanan, perubatan dan pengurusan haiwan-haiwan akan berterusan.

Menerusi kempen ini, orang ramai boleh memilih sama ada mahu memberi sumbangan secara one off atau secara bulanan, mengikut pakej yang tersedia.

Mereka yang memberi sumbangan akan dihadiahkan e-sijil yang akan turut dicatitkan dengan nama haiwan yang dipilih, malah nama mereka juga akan dipamerkan di laman web Zoo Negara.


Antara haiwan yang boleh dipilih untuk dijadikan haiwan angkat ialah Kayla (harimau Malaya), Sibol (gajah) dan Flash (cheetah).

"Tiada sumbangan yang terlalu kecil untuk memberikan impak.

"Ambil haiwan angkat atau taja haiwan-haiwan di sini untuk memastikan hidupan liar kita terjaga, dan anda boleh lakukan semuanya di rumah sahaja," itu kenyataan yang dipetik di akaun Facebook Zoo Negara.

Untuk maklumat lanjut, anda boleh menghubungi Zoo Negara di talian 03-4108 3422 atau menerusi emel di [email protected].