Kemungkinan berlakunya jangkitan COVID-19 dalam kalangan pelajar selepas sekolah kembali dibuka kelak adalah sangat rendah.

Pakar Kesihatan Awam (Epidemiologi dan Biostatistik), Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan, Universiti Putra Malaysia (UPM), Prof Madya Dr Malina Osman berkata ia selepas statistik menunjukkan penularan COVID-19 dalam kalangan tempatan adalah sifar sejak Selasa.

"Kemungkinan itu sangat rendah bagi pendapat saya. Risiko berlakunya cetusan wabak atau kluster yang baharu itu sangat rendah.

"Kalau kita lihat semalam (Selasa), kita mencatatkan sifar penularan dalam kalangan tempatan.

"Kita harapkan pola ini akan berterusan untuk beberapa waktu lagi dan kita dapat mencontohi seperti New Zealand yang dapat mengisytiharkan negara mereka bebas jangkitan virus tersebut," katanya ketika ditemu bual Astro AWANI pada Rabu.

Beliau pada masa sama turut mencadangkan supaya Kementerian Pendidikan mengutamakan kemasukan pelajar yang lebih senior bagi memudahkan para pelajar, guru dan pentadbir membiasakan diri dengan amalan normal baharu di sekolah.

BACA: Sekolah kelas peperiksaan awam SPM, SVM, STPM, STAM dibuka semula 24 Jun

BACA: Bersedia ke sekolah? Ini Garis Panduan KPM kepada setiap pelajar dan guru

"Kita perlu lihat juga kepada kes-kes klinikal yang sedia ada dalam masyarakat. Seandainya kita melihat bahawa keadaan kita agak selamat, besar kemungkinan kita dapat membenarkan pelajar-pelajar yang kita rasakan tidak dapat melaksanakan sebaik-baiknya garis panduan tersebut.

"Maksudnya, risiko jangkitan itu memang jauh berkurangan daripada apa yang ktia jangka. Secara umum, dengan pelaksanaan PKP (Perintah Kawalan Pergerakan) ini sebenarnya, banyak memberi kita pengajaran dan juga cara belajar hidup yang baru di kalangan semua individu dan masing-masing cuba melaksanakan yang sebaik mungkin," katanya.

Justeru beliau optimis garis panduan yang digariskan bagi pembukaan semula sekolah dapat dilaksanakan dengan baik dalam situasi yang sebenar.