Kemurungan boleh dipulihkan dengan bantuan dan sokongan

Kemurungan boleh dipulihkan dengan bantuan dan sokongan
Sebanyak 60 kes bunuh diri dilaporkan setiap bulan di seluruh negara, tidak termasuk kes percubaan membunuh diri serta kes yang tidak didaftarkan atau tidak disahkan sebagai bunuh diri. -Gambar hiasan
TAIPING: Penyakit kemurungan boleh dipulihkan melalui rawatan efektif serta bantuan anggota keluarga dan rakan, kata Pengarah Hospital Taiping Dr Kamaruddin Alias.

Beliau berkata anggota keluarga, rakan dan masyarakat perlulah memahami mengenai kemurungan sebelum membantu mereka yang mengalami penyakit itu, yang boleh menyebabkan penghidapnya cenderung membunuh diri dan mencederakan orang lain.
"Sebanyak 60 kes bunuh diri dilaporkan setiap bulan di seluruh negara, tidak termasuk kes percubaan membunuh diri serta kes yang tidak didaftarkan atau tidak disahkan sebagai bunuh diri.

"Ia menyumbang sebanyak 4.4 peratus daripada beban penyakit global itu," katanya ketika berucap pada perasmian Pameran Hari Kesihatan Sedunia & Bulan Kesedaran Autisme di Hospital Taiping di sini, pada Isnin.

Mengenai autisme, Dr Kamaruddin berkata penyediaan intervensi dan pendidikan awal sempurna untuk kanak-kanak autisme mampu mengembangkan potensi mereka sepenuhnya di samping mengurangkan bebanan dan kos rawatan sepanjang hayat yang perlu ditanggung pesakit, ibu bapa dan juga penjaga.

Statistik Persatuan Kebangsaan Autisme Malaysia pada 2013 menunjukkan bahawa seorang dalam setiap 150 kanak-kanak dilahirkan dengan gejala autisme, dan dianggarkan 47,000 penghidap penyakit berkenaan itu berumur di antara 6 hingga 20-an. - BERNAMA