Kena gertak dengan 'Inspektor Narita', guru KAFA kehilangan puluhan ribu

Kena gertak dengan 'Inspektor Narita', guru KAFA kehilangan puluhan ribu
Menurut Mohd Wazir, mangsa berkata hasil semakan 'Inspektor Narita', nama dan akaun mangsa juga didapati turut terbabit dalam aktiviti pengubalan wang haram. - Gambar hiasan
KUANTAN: Seorang guru KAFA di sini kerugian RM90,810 selepas digertak oleh  seorang wanita bergelar 'Inspektor Narita' yang kononnya mangsa terbabit dengan aktiviti pengubahan wang haram.
 
Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Pahang, Superintendan Mohd Wazir Mohd Yusof berkata, kejadian bermula  pada 22 Mac lalu apabila mangsa wanita berusia 44 tahun itu menerima panggilan daripada seorang suspek wanita kononnya pegawai sebuah bank.
 
"Suspek wanita itu mendakwa mangsa mempunyai tunggakan pinjaman peribadi sebanyak RM50,000. Mangsa menafikan sebelum panggilan disambungkan kepada seorang wanita yang memperkenalkan diri sebagai 'Inspektor Narita'," katanya dalam satu kenyataan media di sini hari ini.
 
Beliau berkata, hasil semakan 'Inspektor Narita', nama dan akaun mangsa juga didapati turut terbabit dalam aktiviti pengubalan wang haram. 
 
"Kemudian 'Inspektor Narita' meminta butiran akaun milik pengadu beserta maklumat nombor PIN dan nombor ATM untuk membuat pengesahan akaun.  Mangsa dimaklumkan oleh suspek, dia perlu membuat bayaran sebanyak RM196,000 untuk tujuan ikat jamin kes berkenaan," katanya.
 
Mohd Wazir berkata, pada hari Ahad lalu, mangsa ada membuat semakan akaun Bank Rakyat miliknya dan mendapati wang sebanyak RM90,810 sudah lesap dari akaunnya itu. 
 
"Dia yang berasa ditipu oleh sindiket berkenaan kemudian membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuantan di sini, semalam.
 
"Polis membuka kertas siasatan kes ini mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun dan sebat serta boleh dikenakan denda jika sabit kesalahan," katanya.
 

Tag: polis, jenayah, suspek, mangsa, KAFA, sindiket, Kuantan, Pahang, guru KAFA tertipu, wanita


Komen Anda?

* Klik pada "Sort by" untuk kemaskini komen

PENAFIAN:
Astro AWANI tidak bertanggungjawab terhadap pendapat yang diutarakan melalui artikel ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri. Terima kasih.