Pertubuhan Doktor-Doktor Islam Malaysia memohon kerajaan menggazetkan caj konsultasi doktor di klinik swasta dengan caj pengamal am antara RM35 dan RM125.

Presiden Pertubuhan Doktor-Doktor Islam Malaysia, Datuk Dr Ahmad Shukri Ismail berkata kenyataan kononnya kadar caj itu bakal dinaikkan sebenarnya mengelirukan pelbagai pihak.

Menurutnya, cadangan itu bukanlah kadar caj baharu tetapi pernah dibincangkan dalam sesi townhall sebelum ini dan menunggu persetujuan untuk digazetkan.

"Memang semakan caj itu perlu digazetkan pada tahun 2006 apabila kita sudah mengguna pakai 'Private Healthcare Facilities And Services Act' selama 26 tahun.

"Tetapi apabila berjumpa menteri baru ini beliau suruh bawa sekali lagi, itu yang kita kena bawa semula isu ini walaupun sebenarnya menunggu untuk digazet sahaja," katanya kepada Sinar Harian.

Ahmad Shukri berkata, antara sebab mengapa perlu digazetkan termasuk berdepan dengan masalah terpaksa memberi sebut harga kepada 'Third Party Administrators' (TPA) dan 'Managed Care Organizations' (MCO) di mana kedua-dua ini adalah ejen atau orang tengah antara syarikat yang mendapat keuntungan.

Katanya, ejen berkenaan kemudiannya akan menawarkan panel dan menyuruh klinik swasta memohon dengan mereka.

"Kita mohon supaya kerajaan gazetkan perkara ini supaya ia jelas dan tidak hanya memberi keuntungan kepada sebelah pihak sahaja selain bolehlah kita mohon RM35 ke RM125 atas sebab sebut harga mengikut masa dan prosedur.

"Prosedur pun ada yang major dan juga minor sekaligus kita meletakkan sebut harga untuk TPA da MCO ini.

"Jadi, orang ramai jangan risaulah dengan kenaikan yang diperkatakan kerana itu hanyalah salah faham," katanya.

Dalam pada itu, sebagai pengamal perubatan beliau percaya kebanyakan doktor bukanlah mahu mengenakan caj mahal kepada pelanggan mereka dan adakalanya mereka tidak mengambil caj konsultansi itu tetapi mengenakan caj ubat sahaja.

"Tetapi apabila mempunyai caj konsultansi pula mungkin klinik swasta boleh mengenakan caj ubat-ubatan yang murah atau memberi pilihan kepada pelanggan membeli ubat di farmasi.

Sebelum ini, sebuah portal melaporkan orang ramai boleh menjangkakan yuran konsultasi lebih mahal dicaj oleh doktor di klinik swasta tidak lama lagi berikutan caj pengamal am antara RM10 dan RM35 akan dinaikkan kepada antara RM35 dan RM125.

Kenaikan itu dipersetujui pada ‘Sesi Town Hall: Konsultasi Pihak Berkepentingan Bagi Cadangan Semakan Caj Pengamal Am’ yang berlangsung di Kementerian Kesihatan di Putrajaya, pada Selasa.