Kenaikan harga minyak menjadi antara faktor kenaikan harga barangan, terutama keperluan harian, sekaligus meningkatkan indeks inflasi negara.

Mengakui perkara tersebut, Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Abdul Rahman Dahlan berkata, kerajaan bagaimanapun sentiasa mengambil langkah yang perlu bagi memastikan kebajikan rakyat terbela.

"Memang kita akui bahawa kenaikan harga minyak memberi tekanan kepada inflasi. Kerajaan tidak membuat lindung nilai secara terus.

"Namun, kesukaran berlaku. Sebagai contoh, apabila kita berdepan (harga minyak) RM2.50 seliter, kita akan hadapi satu dilema, sama ada kita tambah Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M), dengan ini mengurangkan kos sara hidup.

"Tetapi, kita tidak dapat mengawal inflasi, kerana harga minyak akan naik ke RM2.50 dan ia akan menyebabkan harga barang naik," katanya di Dewan Rakyat di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian sebagai menjawab soalan tambahan daripada Tan Sri Khalid Ibrahim (BEBAS – Bandar Tun Razak) yang bertanya sama ada kerajaan ada membuat kajian berkenaan peningkatan harga minyak yang menyumbang kepada kenaikan kadar inflasi di negara ini.

Semalam, harga runcit mingguan bagi petrol RON95 turun 8 sen, menjadi RM2.30 seliter dari RM2.38, manakal petrol RON97 pula turun 8 sen, menjadi RM2.58 daripada RM2.66 seliter.

Harga diesel turun dua sen, menjadi RM2.23 berbanding RM2.25 sebelumnya.