Senator Khairul Azwan Harun mempersoalkan langkah kerajaan mengambil alih konsesi lebuh raya tertentu yang sudah hampir tamat tempoh seperti Lebuhraya Shah Alam (Kesas) yang dijangka tamat dalam tempoh empat tahun.

Menurutnya, beliau juga hairan apabila kerajaan mengatakan bahawa mereka mengambil alih konsesi berkenaan bagi menyelamatkan rakyat daripada kenaikan kadar tol.

"Pada Ogos 2017, disahkan bahawa kadar tol lebuh raya seperti LDP (Lebuhraya Damansara Puchong) tidak lagi akan dinaikkan.

"Jadi agak mengelirukan apabila kerajaan menakutkan rakyat dengan mengatakan bahawa mereka mengambil alih konsesi berkenaan bagi menyelamatkan rakyat daripada kenaikan kadar tol," katanya dalam kenyataan media pada Selasa.

Bekas Naib Ketua Pemuda UMNO itu turut mendakwa Kementerian Kewangan memberi ‘manfaat besar’ kepada pemilik konsesi tol yang terlibat.

“Bagaimana mengambil alih (LDP) dengan RM2.47 bilion dan RM1.38 bilion (Kesas) dilihat sebagai langkah strategik?

"Saya harap Kementerian Kewangan dapat menjelaskan dan menggariskan kos spesifik sehingga menelan kos RM6.2 bilion.

"Bagi memastikan ketelusan, saya harap Kementerian Kewangan boleh menggariskan dengan lebih jelas apa sebenarnya RM6.2 bilion itu, jika bukan untuk mengambil alih konsesi," katanya.

Kementerian Kewangan pada 22 Jun lepas mengumumkan mengadakan rundingan dengan syarikat Gamuda Berhad (Gamuda) bagi tujuan pengambilalihan empat konsesi lebuh raya bertol.

Menteri Kewangan, Lim Guan Eng berkata, ia membabitkan Sistem Penyuraian Trafik KL Barat (Sprint), Terowong Smart (Smart), LDP dan Kesas.

“Kementerian Kewangan memberikan tawaran rasmi pada 21 Jun 2019 kepada keempat-empat syarikat konsesi tersebut dengan harga enterprise value.

“Lebuhraya LDP dengan harga tawaran RM2.47 bilion, Sprint RM1.98 bilion, Kesas RM1.37 bilion, Smart RM369 juta dan jumlah keseluruhannya adalah RM6.2 bilion," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Daripada empat lebuh raya itu, Kesas merupakan lebuh raya dengan konsesi yang paling hampir untuk tamat iaitu pada 18 Ogos 2023.

Bagi LDP pula, konsesinya akan tamat pada 14 Ogos 2030 sementara Terowong Smart akan tamat pada 31 Disember 2042 manakala Lebuhraya Sprint mempunyai beberapa komponen dan akan tamat antara 15 Disember 2031 hingga 14 Disember 2034.

Sekiranya konsesi tidak dilanjutkan, tol tidak lagi akan dikutip selepas tarikh konsesi luput.