Jika tindakan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menggesa supaya diboikot peniaga Cina yang enggan menurunkan harga bukan satu kesalahan, kenapa ia dipadamkan di akaun Facebooknya, soal Ketua Parlimen DAP Kebangsaan, Lim Kit Siang.

Kit Siang mempersoalkan tindakan Ismail Sabri itu selepas Anggota Majlis Tertinggi UMNO itu - yang kini diraikan bagaikan wira, melebihi dari Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Ahmad Zahid hamidi - sebelum ini menegaskan beliau tidak melakukan apa-apa kesalahan dengan status Facebooknya dan enggan meminta maaf.

"Ya, Ismail kini sedang menikmati layanan wira terhadapnya selepas tekanan politik diberikan ke atas Kabinet, menyebabkan bukan sahaja 35 menteri, tetapi juga dua menteri MCA yang selama ini mengecam kenyataan perkauman Ismail sebelum mesyuarat Kabinet semalam, terpaksa menerima sahaja seruan Ismail dan menyifatkannya sebagai bijak, dan ditujukan kepada semua peniaga serta bukan peniaga dari kaum tertentu supaya menurunkan harga," tulis Ahli Parlimen Gelang Patah itu di blognya hari ini.

Katanya, tiada sesiapa yang tahu bagaimana dua menteri MCA tersebut dapat mengubah pendirian, tetapi mereka jelas telah mencapai teknik silat politik yang tidak difahami oleh manusia biasa, termasuk ahli politik biasa.

"Bukan sahaja rakyat Malaysia, seluruh dunia ingin tahu bagaimana kabinet Malaysia berjaya melakukan silap mata. Pertamanya menukar seruan perkauman kepada pengguna Melayu untuk memboikot peniaga Cina menjadi kenyataan terhadap semua kaum.

"Kedua lebih hebat lagi, iaitu menukar pendirian pemimpin politik seperti dua menteri MCA yang sebelumnya benar-benar percaya dengan sifat perkauman dari kenyataan di Facebook Ismail sebelum mesyuarat Kabinet, namun kemudiannya menerima kenyataan Ismail itu sebagai tidak bersifat perkauman langsung," katanya lagi.