Sejak seminggu yang lalu, isu pemberhentian kakitangan Syarikat Penerbangan Malaysia Airlines (MAS) mendapat liputan media yang luas.

Beberapa laporan menyebut kakitangan yang terlibat akan menerima surat tamat perkhidmatan selewat-lewatnya pada Isnin hadapan.

MAS berdepan dengan banyak cabaran sejak penubuhannya pada tahun 1947, termasuk mengalami kerugian enam suku tahun berturut-turut sejak 2012.

Mungkin tidak keterlaluan sekiranya dikatakan tahun 2014 merupakan tahun yang paling mencabar untuk syarikat itu, dengan tragedi kembar yang melandanya ibarat 'sudah jatuh ditimpa tangga'.

Syarikat yang sedang mengatur langkah untuk berdiri itu hampir lumpuh apabila pesawat MH370 hilang pada Mac 8 tahun lalu semasa dalam perjalanan ke Beijing tanpa sebarang tanda sehingga kini. Ia dikejutkan lagi apabila sebuah lagi pesawat B-777, MH17 ditembak jatuh di timur Ukraine pada 17 Julai 2014.

Berikut adalah beberapa fakta berhubung isu pemberhentian kakitangan MAS:


1. Kenapa MAS mahu berhentikan kakitangannya?

Walaupun pelbagai usaha telah diambil untuk meningkatkan pulangan MAS, ia masih tidak berjaya. Daripada tahun 2001 hingga Jun 2014, MAS mencatatkan kerugian terkumpul sebanyak RM8.4 billion. Masalah utama MAS ialah kosnya sentiasa lebih tinggi dari pulangannya.

Ekoran itu, Khazanah Nasional Bhd (Khazanah), selaku pemegang utama saham syarikat itu, mengumumkan pelan rancangan pemulihan MAS pada 29 Ogos 2014, dengan menyenaraikan 12 langkah tumpuan untuk mengembalikan syarikat itu ke landasan keberuntungan yang mampan.

Khazanah menjelaskan bahawa pelan yang diberi nama ‘Membina kembali ikon negara: Pelan Pemulihan MAS’ itu melibatkan rombakan menyeluruh syarikat penerbangan tersebut termasuk menubuhkan sebuah entiti syarikat penerbangan baharu (NewCo).

Khazanah, dalam dokumen pelan pemulihan tersebut, menjelaskan kenapa pelan pemulihan itu sangat penting. Pertama, MAS bukan hanya sebuah syarikat sebalik pemangkin pembangunan nasional. Ia juga sebuah ikon negara.

Bagaimanapun, Khazanah berpendapat syarikat itu perlu diteraskan pada kecekapan operasi, kemampanan kewangan dan penggunaan dana awam secara cermat.

“Kita bertanggungjawab kepada kakitangan dan pelanggan MAS, pemegang saham dan pemegang kepentingan, serta rakyat Malaysia,” kata Khazanah dalam dokumen itu.

Pengarah Urusan Khazanah, Tan Sri Azman Mokhtar berkata pelan pemulihan itu telah distrukturkan selama enam bulan dengan tujuan untuk menangani kekangan yang menghalang penstrukturan sebelum ini.

"Seperti majoriti rakyat Malaysia, saya juga percaya bahawa MAS perlu berpaling ke arah jalan pemulihan," katanya.

MAS
Lebih kurang 6,000 kakitangan MAS hanya akan mengetahui nasib pekerjaan masing-masing apabila menerima surat rasmi daripada syarikat penyerbangan itu pada Isnin hadapan. - Foto AFP/Mohd Rasfan


2. Berapa jumlah pekerja yang hendak diberhentikan?

Jumlah kakitangan yang terlibat ialah 6,000 orang. Ini bersamaan dengan 30 peratus daripada 20,000 kakitangan sedia ada kerana dianggarkan NewCo akan hanya memerlukan 14,000 orang tenaga kerja.

Menurut Khazanah, berdasarkan kepada beberapa kajian dan statistik industri, jumlah kakitangan sedia ada itu tidak munasabah dengan kos operasi dan pulangan keuntungan.

Sebagai contoh, bagi setiap 100,000 penumpang, MAS menggunakan 76 kakitangan berbanding 56 oleh Singapore Airlines (SIA) dan Cathay Pacific.

MAS juga hanya mendapat keuntungan sebanyak RM850,000 untuk seorang kakitangan manakala Cathay Pacific mendapat RM1,675,000 dan SIA mendapat RM2,250,000.

Jika jumlah kakitangan yang diperlukan untuk satu pesawat diambil kira, MAS memerlukan 183 kakitangan manakala SIA dan Cathay Pacific masing-masing hanya memerlukan 138 kakitangan dan 125 kakitangan.

"Segala usaha akan diambil untuk mengekalkan mereka yang berprestasi tinggi dalam jawatan penting dengan pakej pengekalan yang sesuai untuk pekerja-pekerja ini," kata Khazanah dalam dokumen itu.

mas
Jumlah pekerja bagi setiap pesawat sesebuah syarikat penerbangan, berdasarkan dokumen pelan pemulihan MAS.

3. Apa akan terjadi kepada kakitangan yang diberhentikan kerja?

Selain memperuntukkan pampasan kewangan, Khazanah akan menyediakan latihan semula, pewujudan pekerjaan dan penempatan semula. Ia juga telah membuat perjanjian dengan Scicom (MSC) Berhad dan Sutherland Global Services untuk menyediakan peluang pekerjaan.

Laporan media pada Rabu berkata, kakitangan MAS yang telah berkhidmat sehingga 10 tahun akan diberikan satu bulan gaji pokok bagi setiap tahun perkhidmatan mereka.

Mereka yang telah berkhidmat dengan MAS selama lebih dari 10 tahun pula akan mendapat 1.5 bulan gaji bagi setiap tahun perkhidmatan.


4. Apa reaksi kesatuan sekerja terhadap pelan itu?

Kesatuan Kebangsaan Anak-anak Kapal Kabin Malaysia (NUFAM) tampil membantah tindakan mengurangkan 6,000 kakitangan itu dan mengugut akan mengadakan piket jika isu penstrukturan semula itu tidak dapat diselesaikan dengan cara yang baik.

President NUFAM Ismail Nasaruddin berkata langkah itu kurang bijak dalam keadaan ekonomi yang tidak menentu seperti sekarang.

Pengerusi Persekutuan Pekerja Pengangkutan Antarabangsa Malaysia Tan Sri Zainal Rampak pula telah meminta kerajaan campur tangan dalam menyelesaikan isu pemberhentian kakitangan MAS.

Ekoran itu, Ketua Pemuda UMNO Khairy Jamaluddin pada Rabu berkata, cadangan NUFAM mendesak Khazanah untuk memberi pertimbangan terhadap kebajikan dan masa depan 6,000 kakitangan MAS tersebut bakal dibawanya ke Kabinet esok.


5. Apakah langkah-langkah lain dalam pelan pemulihan itu?

Selain memberhentikan kakitangan, antara pelan pemulihan Khazanah adalah:

(a) Penubuhan NewCo bagi menempatkan ‘MAS Baru’, menyahsenarai dan penyenaraian semula;

(b) Pendanaan sehingga RM6 bilion dengan syarat yang ketat dan pengurangan nisbah bersih hutang berbanding modal (gearing) kepada kira-kira 120 peratus;

(c) Menetapkan semula model perniagaan melalui rangkaian yang memberi tumpuan serantau, struktur kos yang lebih rendah dan penekanan kepada pengurusan hasil pendapatan;

(d) Menyatukan ibu pejabat dan operasi dari Subang ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) untuk membolehkan MAS mengukuhkan operasinya dan memperbaiki keadaan kerja;

(e) Pengukuhan jaminan, integriti dan keselamatan fungsi termasuk, antara lain, pengenalan Jawatankuasa Lembaga bagi tadbir urus dan etika serta meningkatkan Audit Keselamatan Operasi IATA;

(f) Mengkaji dan, jika berkenaan, merunding semula kontrak bekalan di mana hasrat utama NewCo adalah menghormati semua kontrak yang mengikut tanda aras yang betul di bawah OldCo;

(g) Peralihan kepimpinan yang menyaksikan perubahan yang besar kepada kepimpinan, di mana antara lain, Ahmad Jauhari Yahya akan terus menerajui OldCo sebagai Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan sehingga 1 Julai 2015, dan Lembaga OldCo juga akan diteruskan dalam tempoh yang sama, sehingga notis selanjutnya;

(h) Mengukuhkan perhubungan industri dan penjajaran dalaman di mana antara amalan baharunya adalah, termasuk memperkenalkan Panel Perundingan Pekerja untuk menyelaraskan kakitangan dengan lebih baik;

(i) Latihan semula, pewujudan pekerjaan dan penempatan semula, di mana Khazanah akan melabur dalam Pusat Latihan Semula Korporat yang akan ditempatkan di kawasan Subang, untuk menangani isu latihan semula kepada kakitangan MAS yang memilih untuk tidak mahu berhijrah ke NewCo;

(j) Sokongan Kerajaan yang sesuai terhadap inisiatif utama termasuk penubuhan sebuah Suruhanjaya Penerbangan;

(k) dan, komunikasi berterusan serta perhubungan dengan pihak berkepentingan seperti taklimat akauntabiliti awam secara berkala.


6. Apakah pelan Khazanah bagi lima tahun akan datang?

NewCo disasarkan mencapai keuntungan dalam masa tiga tahun daripada penyenaraian iaitu menjelang akhir tahun 2017.

NewCo disasarkan akan disenaraikan semula antara tahun 2018 dan 2020.