Jumlah kenderaan yang cuba 'curi-curi' balik kampung dengan merentas negeri meningkat lebih sekali ganda iaitu daripada 508 kenderaan kepada 1,248 kenderaan pada Sabtu.

Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, kesemua yang berusaha merentas negeri itu bagaimanapun telah diarahkan berpatah balik oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM).

"Kelmarin 508 kenderaan telah diarah patah balik kelmarin, untuk semalam (Sabtu) pula 1,248 kenderaan cuba rentas negeri untuk ke balik kampung telah diarah berpatah balik.

"Maknanya lebih sekali ganda rakyat yang cuba untuk cuba 'curi-curi' balik kampung dengan pelbagai alasan dan masih nak balik kampung," katanya dalam sidang media, di sini pada Ahad.

Sehubungan itu, Ismail Sabri mengingatkan mana-mana pihak yang masih menyimpan niat untuk merentas negeri agar melupakan hasrat berkenaan.

"Jadi saya harap tak perlu balik (kampung) kerana apa yang kita tahu mereka ini setelah bersiap sedia selepas sahur terus nak balik kampung bawa anak isteri, kemudian apabila sekatan jalan raya, mereka kena berpatah balik. Ketika ini, PDRM masih bertindak menyuruh berpatah balik, jangan nanti kalaiu polis kompaun RM1,000, yang rugi kita," tegas beliau.

Mengulas mengenai mereka yang sudah 'terlepas' dan berjaya merentas negeri pula, Ismail Sabri berkata, tiada jaminan individu berkenaan boleh melepasi sekatan jalan raya untuk pulang semula tempat asal.

"Bagi mereka yang terlepas daripada sekatan, seronoklah mereka. Namun, saya ingin mengingatkan mereka, selepas sekatan jalan raya balik nanti, tidak bermakna mereka boleh terlepas balik ke ibu negara.

"Mungkin mereka beri alasan dan lepas dengan polis. Namun balik nanti belum tentu mereka terlepas dan tiada jaminan mereka boleh terlepas pulang nanti untuk ke tempat kerja semula," ujarnya.