Tutup
announcement
NOTIS
Beralih ke pengalaman baharu laman web Astro AWANI. Klik di sini!

Kenduri kepala kambing: Perakam video, penganjur akan dikenakan tindakan

Kenduri kepala kambing: Perakam video, penganjur akan dikenakan tindakan
Siasatan mendapati, kenduri tersebut diadakan pada Rabu 18 Mac, hari pertama Perintah Kawalan Pergerakan dilaksanakan. - Gambar fail
ALOR SETAR: Polis Kedah menahan dua lelaki bagi membantu siasatan kes video tular membabitkan individu yang mempertikaikan Perintah Kawalan Pergerakan, dengan paparan sedang menikmati kenduri, termasuk makan kepala kambing, di sebuah kampung di Langgar.

Menurut Ketua Polis Daerah Kota Setar, ACP Mohd Rozi Jidin, berdasarkan maklumat yang diperolehi, pihaknya berjaya menahan dua lelaki itu kira-kira jam 5.15 petang Jumaat di rumah mereka di Langgar.
Beliau berkata, salah seorang lelaki terbabit dipercayai merakam video berkenaan manakala seorang lagi dipercayai merupakan penganjur kepada majlis kenduri itu.

Mohd Rozi berkata, kedua-dua lelaki berkenaan, berumur antara 45 dan 60 tahun, dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Setar untuk tindakan lanjut.
"Kedua-dua mereka ini kita tahan dan akan dibawa ke hadapan Majistret esok (Sabtu) untuk dimohon tahanan reman bagi membantu siasatan," katanya pada sidang media berhubung sekatan jalan raya di Jalan Tanjung Bendahara, di sini, malam tadi.

Beliau juga turut menyeru orang ramai supaya terus berada di rumah menurut Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 18 hingga 31 Mac yang diumumkan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin pada Isnin.

"Pastikan tidak melakukan kerja yang sia-sia, terutamanya memperlekehkan tindakan pihak berkuasa, tidak mematuhi peraturan-peraturan yang telah ditetapkan dan menimbulkan kegusaran kepada masyarakat dengan posting yang dibuat (di media sosial)," tambahnya.

Mohd Rozi berkata, hasil ujian saringan awal mendapati kedua-duanya negatif dadah.

Polis turut merampas sebuah telefon bimbit untuk membantu siasatan.

Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 3 (2) (Peraturan-peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit(PPPB) 2020, Seksyen 7(1) PPPB 2020, Seksyen 270 Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia Malaysia.

Menurutnya, siasatan juga mendapati, majlis kenduri tersebut diadakan pada Rabu lalu, iaitu pada hari pertama PKP dilaksanakan.

Katanya, ketika itu jemputan yang hadir adalah sekitar 25 hingga 30 orang, berusia 20-an sehingga 30-an, dipercayai kenalan penganjur kenduri.

Media sebelum ini melaporkan, polis meminta orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan penularan video seorang lelaki di Facebook yang mempertikaikan PKP yang dilaksanakan kerajaan bagi mengekang penularan COVID-19.