Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak menganggap kenyataan yang dikeluarkan oleh Duta Besar Korea Utara ke Malaysia, Kang Chol, adalah sesuatu yang biadab dari segi diplomatik.

Beliau turut menegaskan bahawa Malaysia bukan kuda tunggangan dan tidak akan tunduk kepada mana-mana negara dalam mempertahankan kedaulatan negara.

"Kenyataan beliau (Kang Chol) itu sama sekali tidak disangka. Ia adalah secara diplomatik biadab. Tetapi Malaysia akan tetap berdiri teguh dengan melaksanakan siasatan mengikut peruntukkan undang-undag yang ada.

“Malaysia tidak akan menjadi kuda tunggangan kepada mana-mana negara. Malaysia adalah negara berdaulat dan kita sama sekali tidak akan menerima tekanan atau dibuli dari mana-mana negara,” katanya semasa sidang media selepas merasmikan program Skim Latihan 1Malaysia (SL1M) di sini, hari ini.

BACA: Pembunuhan Jong Nam: Tuduhan Duta Korea Utara bersandarkan pembohongan - Anifah

BACA:
Wisma Putra arah Duta Malaysia pulang, panggil Duta Korea Utara beri penjelasan

Beliau berkata demikian ketika mengulas kes kematian Jong-nam yang dikatakan mati akibat diracun dua wanita di Lapangan Terbang Kuala Lumpur 2 (klia2), pada Isnin minggu lalu.

Tambah beliau, kerajaan Korea Utara sepatutnya membantu Malaysia dalam siasatan Jong-nam dan bukannya membuat tuduhan tidak berasas.

Sebelum ini Menteri Luar, Datuk Seri Anifah Aman menegaskan, tuduhan Kang Chol yang memberi gambaran bahawa kerajaan Malaysia mempunyai 'sesuatu untuk disembunyikan' dalam pengendalian kes kematian seorang warga Korea Utara pada 13 Feb lalu hanya bersandarkan khayalan, pembohongan dan perkara yang hanya separuh benar.

Katanya, dakwaan Kang Chol bahawa Malaysia 'berpakat dan bersekongkol dengan kuasa-kuasa luar itu menjadi asas kepada kesimpulan Kang Chol bahawa 'penyiasatan tersebut didalangi oleh pihak yang berada di sebalik tabir' dan 'penyiasatan yang dikendalikan bukan bertujuan untuk mendapat tahu punca kematian dan untuk mencari suspek, tetapi bermotifkan politik.'