Kenyataan Jakel mengenai dakwaan terima wang 1MDB

Kenyataan Jakel mengenai dakwaan terima wang 1MDB
Semalam, SPRM mendedahkan Jakel dan Jakel Trading antara 41 penerima wang dana 1MDB melalui beberapa transaksi. - Instagram/@jakel_shahalam
SIARAN MEDIA OLEH JAKEL TRADING & JAKEL TRADING SDN. BHD.

Merujuk kepada kenyataan yang dibuat oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia ("SPRM") pada 21 Jun 2019 berhubung wang yang didakwa dipindahkan dari akaun mantan perdana menteri Dato' Sri Najib Razak, Jakel Trading dan Jakel Trading Sdn. Bhd. (secara kolektif dirujuk sebagai "Jakel") telah menyerahkan semua dokumen sah berkaitan dengan urusniaga terbabit kepada pihak SPRM dan Jakel komited untuk terus bekerjasama membantu SPRM seperti yang telah kami lakukan sepanjang siasatan dijalankan sehingga hari ini.

Jakel ingin menyatakan dengan jelas bahawa semua urusniaga yang berkaitan adalah dilakukan dengan urusniaga yang tulen, dan disokong oleh bukti dokumen yang sahih. Jakel tidak pernah terlibat dalam skim pengubahan wang haram dan tidak akan terbabit dalam apa jua kegiatan seperti itu pada masa akan datang.

Jakel komited untuk terus menjalankan perniagaannya dengan tatacara yang bertanggungjawab dan kami ingin menekankan bahawa kami amat sedar bahawa tidak ada apa-apa kebaikan daripada amalan perniagaan yang tidak sah dan tidak beretika.
Jakel memandang sebarang tuduhan yang mengaitkan kami dengan aktiviti pengubahan wang haram adalah tuduhan yang sangat serius. Perniagaan teras Jakel adalah produk tekstil dan barangan tekstil yang berkaitan dengan perdagangan runcit dan borong. Kami menjalankan aktiviti jual beli kami dengan tiada prasangka, di mana semua pelanggan dilayan secara professional dan baik.

Segala transaksi jual beli terbabit adalah dengan berdasarkan invois dan semua pembayaran diterima dengan tiada syak wasangka.

Ingin kami jelaskan bahawa urusniaga terbabit adalah berdasarkan pesanan yang kami terima dari mantan Perdana Menteri dan juga dari pejabat mantan Perdana Menteri ("PMO") tersebut untuk Jakel membekalkan kain jubah bagi semua program-program amal yang dianjurkan oleh beliau dan PMO (untuk imam, tahfiz dan termasuk semua masjid-masjid di seluruh Malaysia sebanyak lebih 7 ribu masjid, dan juga bekalan kain untuk mangsa-mangsa banjir antara tahun 2011 dan 2014). Transaksi-transaksi tersebut berlaku sebelum sebarang isu berkaitan dengan 1MDB timbul dalam pengetahuan kami.

Pihak Jakel hanya menerima pembayaran setelah kami menyempurnakan penghantaran barangan yang dipesan. Segala pembayaran untuk barangan yang dijual dan dihantar, kami terima dengan tanpa prasangka dan kami tidak mempunyai sebarang kuasa untuk mempersoalkan sumber dana tersebut kecuali sekiranya terdapat bukti yang jelas bahawa dana tersebut adalah diperolehi secara tidak sah. Sebarang isu pengubahan wang haram adalah benar-benar tiada dalam pengetahuan pihak kami.

Pendirian kami sangat jelas, iaitu untuk memberi sepenuh komitmen dan kerjasama kepada pihak kerajaan dan pihak SPRM bagi membersihkan nama baik Jakel. Hanya kepada Allah kita berserah. - SEKIAN -

Jakel Trading & Jakel Trading Sdn. Bhd.
22 Jun 2019


Kenyataan Media Jakel dan Jakel Trading pada Sabtu

41 penama yang didedahkan SPRM


Sidang Media Khas SPRM pada 21 Jun 2019




Tag: Jakel, Jakel Trading, SPRM, 1MDB


Komen Anda?

* Klik pada "Sort by" untuk kemaskini komen

PENAFIAN:
Astro AWANI tidak bertanggungjawab terhadap pendapat yang diutarakan melalui artikel ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri. Terima kasih.