"Mereka tiada hak campur tangan urusan negara."

Itu tegas Menteri Dalam Negeri, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang membidas kenyataan media dari India yang mendakwa Malaysia 'bertindak ganas' dalam isu rusuhan kuil Sri Maha Mariamman USJ 25 di Putra Heights, dekat sini.

"Saya kecewa dengan kenyataan media dari India yang menuduh kita bertindak secara ganas. Ini adalah satu laporan bohong, saya tegaskan ini laporan palsu dan tindakan itu bawa imej buruk kepada negara," katanya kepada Astro AWANI selepas melawat situasi keadaan di kuil terbabit, hari ini.

BACA: Rusuhan kuil: 58 tangkapan setakat ini - Muhyiddin

Beliau turut menggesa memorandum yang dihantar pihak India kepada Konsulat Jeneral Malaysia di Chennai ditolak dan berharap agar rakyat tidak mudah terpengaruh dengan kenyataan terbabit.

"Ini bukan melibatkan warganegara India, tapi warganegara Malaysia. Ia akan mengeruhkan lagi keadaan sekiranya rakyat terhasut dengan perkara itu. Kita bantah sekeras-kerasnya apa yang berlaku," kata Muhyiddin.

Sebelum ini, Wisma Putra dilaporkan berkata memorandum daripada parti yang juga dikenali sebagai Hindu Makkal Katchi itu mengutuk insiden rusuhan di kuil Sri Maha Mariamman dan mendakwa Kerajaan Malaysia bersikap berat sebelah terhadap penganut Hindu di negara ini, selain mendakwa Kerajaan tidak mengambil sebarang tindakan berhubung insiden tersebut.

Hindu Makkal Katchi merupakan sebuah parti politik kecil berhaluan kanan dan ekstremis di Tamil Nadu, India.