Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak yang diarahkan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur untuk memfailkan pembelaan dalam saman ke atasnya dan tiga yang lain berhubung dakwaan perbelanjaan berlebihan dalam kempen pilihan raya umum ke-13 (PRU13), tidak bermakna sudah terdapat bukti perlakuan jenayah oleh Perdana Menteri.

Dalam sebuah kenyataan media pada Jumaat, peguam yang mewakili Najib, Mohd Hafarizam Harun berkata konotasi kes tersebut berbeza dengan perbicaraan kes jenayah.

"Berkenaan perintah mahkamah pada Khamis untuk Datuk Seri Najib Razak untuk memfailkan pembelaan sebelum atau pada 1 Oktober 2015, di sini saya ingin menekankan bahawa ini bukan kes pertuduhan prima facie yang memerlukan Datuk Seri Najib dipanggil untuk membela diri. Itu hanya diguna pakai untuk kes jenayah, dan kes ini bukanlah sebegitu.

"Dalam mana-mana saman sivil, pihak defendan mempunyai hak perundangan untuk memberi maklum balas atau menjawab. Ia dilakukan melalui kenyataan pembelaan yang mahkamah telahpun berikan pada Datuk Seri Najib dan juga tiga yang lain dalam tempoh masa tertentu.

"Tidak ada yang luar biasa atau kabur tentang kaedah ini memandangkan ia telah diterima pakai selama ini," jelas Mohd Hafarizam.

Pada Jumaat, seorang lagi peguam Najib, Choo Shi Jiu telah memberitahu wartawan bahawa timbalan pendaftar Norfauzani Mohd Nordin dari Mahmakah Tinggi Kuala Lumpur telah memberi arahan bahawa pihak defendan juga bebas membuat permohonan interlokutori (pra-perbicaraan) selewat-lewatnya 9 Oktober.

Ia lanjutan daripada pihak defendan yang telah memaklumkan mahkamah mengenai hasrat untuk melakukan perkara itu.

Permohonan pra-perbicaraan itu menurut Mohd Hafarizam, merangkumi permohonan untuk membatalkan saman tersebut sama sekali, jika kes yang dibawa oleh plaintif bersifat skandal, remeh atau menyulitkan.

Pada 12 Ogos lalu, PKR telah memfailkan saman ke atas Najib atas dakwaan melanggar undang-undang pilihan raya berikutan pendedahan The Wall Street Journal mengenai dana berjumlah AS$700 juta (RM2.6 bilion) dimasukkan ke dalam akaun peribadinya.

Saman tersebut turut menamakan tiga lagi defendan - Setiausaha Agung Barisan Nasional Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor, syarikat pelaburan negara 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dan Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia.

Pihak plaintif pula terdiri daripada Ketua Umum PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim, Naib Presiden Nurul Izzah Anwar, Naib Presiden merangkap Ahli Parlimen Batu Tian Chua, bekas Setiausaha Agung, Datuk Saifuddin Nasution Ismail dan bekas ahli PAS Dr Dzulkefly Ahmad.

Saman tersebut difailkan di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur melalui peguam Tommy Thomas.

Undang-undang pilihan raya mengehadkan perbelanjaan pilihan raya sehingga RM100,000 bagi calon Dewan Undangan Negeri dan RM200,000 bagi calon Parlimen.