Kenyataan Ahli Jawatankuasa Kerja Pusat (CEC) DAP, Ronnie Liu bahawa gabungan Pakatan Harapan (PH) akan kekal kukuh sebagai kerajaan walaupun tanpa parti parti Bersatu, adalah dikesali.

Ketua Penerangan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) Dr. Radzi Jidin hari ini berkata kenyataan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) DAP itu adalah biadab dan tidak berdisplin kerana memperlekehkan kepimpinan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad dalam PH.

Sebaliknya, jelas Dr Radzi sebagai seorang ahli parti gabungan PH, Ronnie Liu perlu menghormati Tun Dr Mahathir selaku Pengerusi PH dan juga Pengerusi Bersatu sebagai salah satu parti komponen.

Beliau turut menyambut baik kenyataan Setiausaha Organisasi DAP, Anthony Loke bahawa tindakan akan dikenakan terhadap Ronnie Liu di peringkat Jawatankuasa Displin DAP kerana tindakan dianggap telah mensabotaj parti.

Tambahnya Bersatu menyeru seluruh kepimpinan dan ahli gabungan PH agar menekankan soal tataetika, displin serta saling hormat menghormati bagi menjaga keamanan PH.

Rakyat ujarnya, telah membuat keputusan memilih PH yang dipimpin oleh Tun Dr Mahathir Mohamad di dalam Pilihan Raya Umum ke-14 yang lalu.

Justeru, kepimpinan PH di semua peringkat bertanggungjawab mendokong penuh Perdana Menteri dalam usaha beliau untuk memastikan hasrat dan aspirasi rakyat dapat diterjemahkan dengan cemerlang.

Bersatu juga mengingatkan seluruh ahli dan komponen parti PH untuk menumpukan perhatian kepada kerja membela nasib rakyat yang menjadi asas kemenangan dalam pilihan raya umum yang lalu.

Ronnie menerusi sebuah laporan portal berita tempatan pada Selasa mendakwa PH masih boleh membentuk kerajaan tanpa Bersatu.

Dalam kenyataan itu, dia turut mempersoalkan pendirian Perdana Menteri menerima bekas ahli politik Umno sebagai ahli Bersatu dan kegagalan Tun Dr Mahathir menetapkan tarikh peralihan kuasa kepada Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim.