“KITA perlu amalkan sikap tolong-menolong tanpa mengira agama dan bangsa.”

Itulah nilai murni yang boleh dikaitkan dengan 'Mr Kuan' seorang insan yang sanggup menolong sebuah keluarga berlainan agama yang hidup susah.

Kuan Chee Heng kini menjadi perbualan hangat rakyat Malaysia selepas beberapa keping gambarnya berbuka puasa bersama sebuah keluarga yang susah menjadi viral di media sosial.

Menerusi akaun Facebooknya, Kuan berkongsi kisah bagaimana seorang ibu yang mempunyai lapan orang anak masih belum berbuka puasa, meskipun jam sudah menunjukkan 8.30 malam.

“Lapan adik beradik ditinggal ayah bersama ibu. Hidup dalam gelap gelita, api dipotong dan air dipotong.

“Jam sudah 8.30 malam masih belum berbuka sebab tiada apa yang boleh dimakan. Saya menjemput mereka semua untuk makan. Bantulah mereka kerana keadaan mereka yang sangat memerlukan,” tulisnya.

Status Kuan itu berjaya mendapat hampir 30 ribu likes dan dikongsi lebih dari 15 ribu kali.

Kredit Gambar: Facebook Kuan Chee Heng
Walaupun berlainan bangsa, sikap prihatin yang ditunjukkan Kuan nyata menimbulkan rasa terharu orang ramai.

Netizen memuji tindakan Kuan yang cukup ikhlas untuk menolong tanpa mengira agama, apatah lagi pada bulan yang cukup suci ini.

Tambah mereka, tindakan Kuan patut dicontohi oleh rakyat kerana ia melambangkan keharmonian negara ini.

Kredit Gambar: Kuan Chee HengSusulan insiden ini menjadi viral, beberapa pihak tampil untuk memberi bantuan kepada keluarga tersebut.

Dalam status terbaharu, Kuan menyatakan bahawa pemilik rumah yang disewa keluarga itu telah memberi tempoh masa untuk mereka tinggal sehinggalah mereka mendapat rumah zakat.

Bil air dan api rumah keluarga ini juga akan dilangsaikan setelah mereka mendapat kutipan zakat.

Malah, Zakat Selangor turut berjanji akan memberi bantuan secepat mungkin.