Tutup
announcement
NOTIS
Beralih ke pengalaman baharu laman web Astro AWANI. Klik di sini!

Kepulangan rakyat Malaysia dari Singapura perlu diurus secara berperingkat - MB Johor

Kepulangan rakyat Malaysia dari Singapura perlu diurus secara berperingkat - MB Johor
Johor tidak dapat menampung kesemua warganegara Malaysia yang bekerja di Singapura jika mereka mengambil keputusan untuk pulang ke tanahair.
KUALA LUMPUR: Johor tidak dapat menampung kesemua warga Malaysia yang bekerja di Singapura jika mereka mengambil keputusan untuk pulang ke tanah air.

Ini kerana, infrastruktur di negeri tersebut, termasuk pusat kuarantinnya, tidak mencukupi untuk menerima kepulangan kesemua warganegara Malaysia yang bekerja di Singapura, pada satu masa.

Oleh itu, Menteri Besar Datuk Hasni Mohammad berkata, penting supaya rakyat Malaysia yang bekerja di Singapura pulang secara berperingkat, supaya ia dapat diuruskan secara baik.

"Buat masa ini, kami di peringkat negeri menerima bantuan dari semua pihak, termasuk dari kerajaan Singapura," jelasnya dalam wawancara program Consider This di saluran Astro AWANI 501 malam tadi.


Ditanya kemungkinan sempadan Malaysia dan Singapura dibuka secara bebas semula, Hasni menyatakan, perkara yang perlu diutamakan ketika ini adalah pematuhan terhadap Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
Berkuatkuasa 30 Mac lalu, Singapura melaksanakan langkah berjaga-jaga tambahan terhadap semua pemegang Pas Jangka Panjang yang memasuki atau kembali ke republik itu.

Ia berikutan risiko kemasukan kes COVID-19 dari luar yang semakin meningkat di Singapura. 

Malaysia pula pada 25 Mac lepas telah melanjutkan tempoh PKP sehingga 14 April berbanding 31 Mac untuk membendung penyebaran COVID-19.