YASMIN NOORUL AMIN mengakui pernah mengambil keputusan drastik dengan melepaskan jawatan jurulatih utama guru data bagi peringkat negeri demi memastikan prestasi anak-anak muridnya terjamin.

Guru cemerlang mata pelajaran Kimia SMK La Salle, Petaling Jaya di Selangor itu mengakui pernah tidak diendahkan pelajar pada suatu tempoh masa kerana sering menghabiskan masa ke mesyuarat akibat tanggungjawabnya sebagai jurulatih utama guru data.

Setelah menyedari beliau perlu berada di sekolah lebih kerap, Cikgu Yasmin bertindak drastik dengan meletakkan jawatan jurulatih berkenaan pada tahun 2012.

Nekad mahu memastikan kebajikan murid-muridnya terjaga, beliau melihat semula pendekatan pengajarannya dan mula memperkenalkan pelbagai inisiatif baharu.


"Mengikut moto sekolah ini 'Sapientia Et Caritas' iaitu 'Bijaksana dan Penyayang', saya mula membina semula kerjaya perguruan saya dengan mengatur semula kelas-kelas saya, menganjurkan kem kimia, adakan aktiviti mendaki dengan pelajar dan lebih banyak uji kaji dan eksperimen yang tidak berada dalam silibus tetapi berkesan untuk memberikan ilmu dan meningkatkan minat murid-murid dalam bidang kimia," katanya.

Menurut Cikgu Yasmin, hanya setahun selepas beliau melepaskan jawatan peringkat negeri itu, prestasi akademik murid-muridnya meningkat secara mendadak di mana 90 peratus muridnya di kelas yang pertama mendapat gred 'A' dalam subjek Kimia.

"Walaupun jumlah 'A' menjadi kayu ukur prestasi yang dikejar guru-guru, bagi saya paling penting ialah murid-murid menjadi rapat dengan saya dan mereka juga melanjutkan pelajaran dalam bidang kejuruteraan.

"Jadi saya rasa saya sudah melakukan perkara yang betul dan ia harus diteruskan," katanya.


Walaupun gagal dapat AS$1 juta, cikgu ini tetap dapat hadiah utama yang diimpikan

Cikgu Yasmin yang pernah disenarikan sebagai finalis 50 guru terbaik dunia peringkat global pada 2015, pernah berangan-angan untuk membina sebuah makmal kimia moden dan mini forensik sekiranya menang AS$1 juta dalam pertandingan itu.

Namun rezeki tidak menyebelahinya apabila beliau, yang merupakan guru pertama di Asia Tenggara yang terpilih sebagai finalis, tidak berjaya merangkul kejuaraan dalam pertandingan itu.

Begitu pun, impian Cikgu Yasmin tetap tercapai selepas empat tahun apabila Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) dengan sokongan Pegawai Unit Pembangunan Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Petaling Utama, Mohamad Muslihat Ismail, bersetuju untuk menaja pembinaan makmal modennya itu.

Melalui tajaan itu, Cikgu Yasmin berjaya mengubahsuai sebuah makmal kimia sedia ada di SMK La Salle PJ kepada makmal kimia moden dan mini forensik untuk anak-anak muda bagi mempelajari ilmu yang sebelum inj hanya eksklusif kepada golongan tertentu sahaja.

"Saya dan murid-murid telah mula menggunakan makmal kimia ini dan saya sangat teruja kerana apa yang saya gambarkan dan impikan sudah menjadi kenyataan.

"Saya rasa macam saya menang juga AS$1 juta itu kerana impian saya dah tercapai!"