Keputusan kajian terhadap bebanan tugas guru, akan diumumkan menjelang akhir tahun ini.

Menteri Pendidikan Datuk Seri Dr Mahdzir Khalid berkata setakat ini kajian tersebut masih di peringkat analisa.

Ujarnya, guru terikat dengan tugas hakiki dan mereka dibebani dengan kerja perkeranian memasukkan data secara atas talian bagi sistem pentaksiran berasaskan sekolah (PBS).

Sehubungan itu satu Mesyuarat Penyelarasan Berhubung Sistem Pengisian Data Dalam Talian akan diadakan Khamis ini di Putrajaya bagi membincangkan perkara berkenaan.

"Perkara itu akan dibincang secara lebih terperinci sama ada guru hanya perlu menghantar data-data itu sehingga ke peringkat Pejabat Pendidikan Negeri atau hanya ke Pejabat Pendidikan Daerah dan tidak perlu memanjangkan data itu ke kementerian.

"Jadi tidak semua data itu nak kena 'key in' hari hari, nak kena hantar mingguan, bulanan ke kementerian. Ini semua kita sedang kaji," katanya kepada pemberita selepas Majlis Anugerah Kecemerlangan Sekolah Menengah Kebangsaan Agama Al-Irshad di sini hari ini.

Ujar beliau lagi, antara perkara yang akan diperhalusi termasuk mengkaji keseluruhan data yang diperlukan di peringkat sekolah, Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) dan Jabatan Pendidikan Negeri yang perlu diisi oleh guru secara atas talian.