Tutup

Keputusan pelaksanaan PPSMI diketahui tahun hadapan- Tun Mahathir

Keputusan pelaksanaan PPSMI diketahui tahun hadapan- Tun Mahathir
Perdana Menteri menjelaskan bahawa pihak kerajaan kini sudah menubuhkan satu jawatankuasa kecil untuk meneliti keperluan pelaksanaan semula PPSMI. - Gambar fail
LANGKAWI:

Keputusan sama ada kerajaan akan mengekalkan sistem pendidikan sedia ada ataupun beralih kepada pelaksanaan Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris (PPSMI) hanya akan dapat diketahui selewat-lewatnya tahun hadapan.

Jelas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, ketika ini Kabinet masih menunggu kertas kerja berkaitan PPSMI yang sedang disiapkan Kementerian Pendidikan sebelum sebarang keputusan dapat dilakukan.

Tambah Perdana Menteri yang memangku jawatan Menteri Pendidikan, beliau tidak boleh membuat sebarang keputusan mengenai perlaksanaan sistem pendidikan terbabit memandangkan ianya perlu dibawa dan diputuskan Kabinet sekiranya wujud keperluan untuk dilaksanakan.

"Saya beritahu pegawai, bukan buat pengumuman, tetapi entah macam mana dia tiris dan orang ramai diberitahu bahawa saya telah buat keputusan. Saya tidak boleh membuat keputusan. Keputusan mesti dibuat oleh Kabinet.
“Jadi sekarang ini kita sedang sediakan kertas kerja untuk dipertimbangkan oleh Kabinet sama ada kita akan ada PPSMI ataupun kita kekalkan mengajar sains dalam Bahasa Melayu.

"Kita harap menjelang tahun hadapan kita boleh sedia (kertas kerja), waktu ini belum ada guru dan sistem pengajaran yang akan ditukar. Kita tidak guna sistem lama kita, akan guna sistem baharu yang mana pengajaran itu disediakan oleh pakar dan guru yang boleh memimpin anak-anak murid dan guru sendiri boleh belajar,” kata beliau.


Dr Mahathir berkata demikian ketika ditemui media selepas hadir ke Program Khidmat Masyarakat dan Pemeriksaan Kesihatan oleh Institut Jantung Negara (IJN) di Masjid Sungai Itau, Ayer Hangat di sini pada Sabtu.

Terdahulu, Perdana Menteri menjelaskan bahawa pihak kerajaan kini sudah menubuhkan satu jawatankuasa kecil untuk meneliti keperluan pelaksanaan semula PPSMI.

Sehingga kini, kerajaan masih mempertimbangkan sama ada sistem pendidikan berteraskan PPSMI akan dilaksanakan di sekolah ataupun sebaliknya.

 



Tag: Mahathir Mohamad, Perdana Menteri, Kementerian Pendidikan, pendidikan, PPSMI, pengajaran Sains dan Matematik, Sains, guru, kabinet



Komen Anda?

* Klik pada "Sort by" untuk kemaskini komen

PENAFIAN:
Astro AWANI tidak bertanggungjawab terhadap pendapat yang diutarakan melalui artikel ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri. Terima kasih.