Keputusan pengasingan kuasa pentadbir hakim mahkamah rendah seluruh negara bakal diketahui pada hujung tahun ini.

Ketua Hakim Negara, Tun Arifin Zakaria berkata pihaknya telah menyerahkan kertas kerja tersebut kepada Suruhanjaya Perkhidmatan Kehakiman dan Perundangan (SPKP).

Tegas beliau, pengasingan kuasa itu amat penting bagi mengelak konflik kepentingan dalam membuat penghakiman serta mengikis pandangan negatif mengenai kebebasan institusi kehakiman di mahkamah rendah dalam kalangan masyarakat.

"Hakim mahkamah sesyen dan majistret masih dilantik oleh SPKP, tetapi Ketua Pendaftar Mahkamah Persekutuan Malaysia (CR) akan menjadi ketua bahagian kehakiman, manakala bahagian perundangan adalah Peguam Negara.

"Para pegawai akan melihat CR sebagai ketua, bukan melihat Peguam Negara sebagai ketua mereka. Kalau tidak, itu akan jadi tidak bebas di mana persepsi itu tidak nampak bebas.

"Ini boleh dibuat secara pentadbiran sahaja. Tidak perlu untuk ubah atau pinda Perlembagaan," katanya kepada pemberita pada sidang media selepas merasmikan Persidangan Pegawai Kehakiman Tahun 2016 di sini hari ini.

Menurut Tun Arifin, tidak perlu mewujudkan suruhanjaya berasingan bagi pelantikan hakim mahkamah rendah, sebaliknya pelantikan masih dilakukan menerusi SPKP.

Pada masa sekarang, Peguam Negara merupakan ketua perkhidmatan kepada semua hakim mahkamah sesyen dan majistret seluruh negara.

"Mengikut Pekeliling 6/2010, Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam (KPPA) telah melantik AG (Peguam Negara) sebagai ketua perkhidmatan dan saya tidak tahu apa sebabnya.

"Ini bermakna, pegawai kehakiman dan perundangan diletak di bawah AG, jadi nampak konflik kepentingan sebab (bidang kuasa) AG adalah pendakwaan, macam mana boleh jadi ketua kehakiman," katanya.