MAHKAMAH Agung Amerika Syarikat (AS) pada Jumaat memutuskan pasangan gay dan lesbian mempunyai hak berperlembagaan untuk berkahwin di semua 50 negeri di negara itu.

Lapor AFP, dengan keputusan 5-4, mahkamah tertinggi di Amerika Syarikat itu memutuskan bahawa di bawah Perlembagaan, golongan gay dan lesbian boleh berkahwin di mana sahaja mereka tinggal di AS dan pihak berkuasa negeri tidak boleh melarang perkahwinan sesama sejenis.

Ia merupakan satu keputusan bersejarah mengenai perkahwinan sesama sejenis kerana perkahwinan di AS dikawal selia di peringkat negeri.

Di Malaysia, warga media sosial berbelah bagi mengenai isu ini.

Ada yang anggap perkahwinan dan hubungan sejenis sebagai salah dan bertentangan dengan ajaran agama:
Pengguna Twitter yang dikenali sebagai @goodballsz tiada masalah dengan kaum gay, namun tidak senang dengan perkahwinan sejenis:
Ada juga netizen yang setuju dengan keputusan ini dan meluahkan kegembiraan ini.
@inbarajs berkata seseorang itu tidak perlu suka atau sokong perkahwinan sesama sejenis, asalkan tidak membenci:
Lapor AFP, keputusan ini masih berbelah bagi di AS, khusunya di antara aktivis pro gay dan lesbian dan puak konservatif.

Bagi aktivis gay dan lesbian, ini merupakan antara kes hak sivil yang paling penting dalam era moden.

Bagi pengkritik, mereka tidak setuju kerana ini telah mengubah definisi perkahwinan tradisional.

Ketua Hakim John Roberts – yang merupakan antara empat hakim yang tidak setuju dengan perkahwinan sesama sejenis – meluahkan kekecewaan beliau dengan keputusan ini.

“Ramai orang akan bergembira dengan keputusan ini. Tetapi bagi mereka yang percaya kepada undang-undang kerajaan, bukan manusia, pendekatan majoriti ini amat mengecewakan," kata beliau dalam satu kenyataan bertulis.

Seorang lagi hakim yang tidak setuju, Antonin Scalia, berkata keputusan ini akan “mengancam demokrasi Amerika”.

Sementara itu, Presiden AS Barack Obama memuji keputusan itu.

“Keputusan ini adalah kemenangan untuk Amerika. Keputusan ini mengesahkan apa yang berjuta-juta rakyat Amerika percaya dalam hati mereka. Apabila semua rakyat Amerika benar-benar dianggap sebagai sama, kami lebih bebas," kata Obama dari White House.