Mahkamah Persekutuan menangguhkan keputusan rayuan kes peguam bukan Islam, Victoria Jayaseele Martin yang memohon untuk menjadi peguam syarie di Mahkamah Syariah Wilayah Persekutuan ke satu tarikh yang akan dimaklumkan kelak.

Penangguhan dibuat setelah panel lima Hakim Persekutuan yang diketuai Presiden Mahkamah Rayuan, Tan Sri Raus Sharif meneliti hujah yang diberikan oleh Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) dan Jabatan Peguam Negara.

MAIWP yang diwakili peguam Datuk Sulaiman Abdullah dan Peguam Kanan Persekutuan, Shamsul Bolhasan, dalam hujah berkata hanya orang Islam boleh berdebat berkenaan hal ehwal perundangan Islam di Mahkamah Syariah.

Mahkamah Syariah jelasnya tidak boleh mengenakan hukuman terhadap peguam bukan Islam kerana perbuatan tersebut dilihat menghina serta menurut Majlis Fatwa Kebangsaan, orang bukan Islam perlu dilarang daripada muncul di Mahkamah Syariah.

Selain itu, isu hak asasi manusia di bawah Islam mesti diputuskan mengikut undang-undang agama dan bukan undang-undang sekular serta tidak wujud diskriminasi kerana ia hanya melibatkan orang Islam.

Sementara Victoria yang diwakili peguam Datuk Dr Cyrus Dass dan Ranjit Singh berhujah dengan merujuk kepada Seksyen 59 Akta Pentadbiran Undang-Undang Islam 1963 (Wilayah Persekutuan) yang membolehkan mana-mana individu diterima sebagai peguam syariah jika beliau berkelayakan dalam bidang undang-undang syariah.

Pihak pembelaan bagaimanapun menjelaskan maiwp mempunyai kuasa untuk mengubal prosedur kelayakan dan peraturan tersebut mengikut akta pentadbiran undang-undang Islam 1963 Wilayah Persekutuan.

Mahkamah diberitahu, MAIWP kemudiannya mengenakan syarat-syarat di bawah Peraturan 10 dalam Peraturan-Peraturan Peguam Syarie 1993 di mana menetapkan seorang peguam syariah mestilah Islam untuk mencapai tujuan akta tersebut.

Martin, 53 tahun, yang merupakan lepasan Diploma Undang-Undang dan Amalan Syariah daripada Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) pada 2004, memohon untuk diterima sebagai peguam syarie di Wilayah Persekutuan namun Mahkamah Tinggi tidak membenarkan permohonan semakan kehakiman tersebut.

Mahkamah Rayuan kemudiannya membatalkan keputusan Mahkamah Tinggi itu dengan mengisytiharkan bahawa Kaedah 10 Kaedah-Kaedah Peguam Syarie 1993 yang menyebut hanya orang Islam boleh diterima sebagai peguam syarie adalah bercanggah dengan Akta Pentadbiran Undang-Undang Islam (Wilayah Persekutuan) 1993.

Seksyen 59 akta tersebut menetapkan bahawa mana-mana orang yang mempunyai pengetahuan yang mencukupi tentang Hukum Syarak boleh diterima menjadi Peguam Syarie bagi mewakili pihak-pihak dalam apa-apa prosiding di dalam Mahkamah Syariah.