Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu menetapkan 7 November depan sebagai tarikh keputusan kes melibatkan saman bekas Ketua Menteri Sabah, Tan Sri Musa Aman terhadap Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal dan Tuan Yang Terutama Negeri, Tun Juhar Mahiruddin.

Penetapan tersebut dibuat oleh Hakim, Datuk Yew Jen Kie selepas mendengar hujahan lisan daripada pihak plaintif dan defenden yang mana hampir lima jam prosiding bersidang di mahkamah hari ini.

Dalam prosiding hari ini, plaintif diwakili peguam Tengku Fuad Tengku Ahmad dan S. Vanugopal manakala Juhar sebagai defendan pertama, Mohd Shafie sebagai defenden kedua diwakili Peguam Negeri Sabah, Datuk Zaleha Rose Pandin, peguam Dayangku Fazidah Hatun Pangiran Bagul, Rafidah Maqbool Rahim serta Datuk Douglas Lind.

Di dalam prosiding yang bermula jam 2.30 petang dan habis kira-kira jam 6.45 petang tadi itu menyaksikan pihak planitif serta defenden mengeluarkan hujah masing-masing berkenaan kes saman tersebut.

Pihak planitif, Tengku Fuad yang mewakili Musa dalam prosiding tersebut turut menyentuh akan bidang kuasa Juhar mengikut Artikel 10 (4) Perlembagaan Negeri dimana Juhar tidak mempunyai kuasa untuk memecat ketua menteri dan hanya tertakluk kepada pelantikan serta berkuasa untuk membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah sahaja.

Beliau turut berhujah mengikut Artikel 6(3) Perlembagaan Negeri yang mana Juhar hanya boleh melantik Ketua Menteri selepas pilihanraya umum atau peletakan jawatan dan bukannya bertindak memecat individu yang mempunyai hak sebagai ketua menteri.

Sementara itu, Douglas yang mewakili Mohd Shafie dalam hujahannya di prosiding berkata, Mohd Shafie berhak dilantik sebagai Ketua Menteri Sabah memandangkan beliau mempunyai sokongan majoriti selepas enam ADUN Barisan Nasional (BN) Sabah bertindak menyokong Parti Warisan yang bekerjasama dengan Pakatan termasuk PKR dan DAP.

Dalam hujahannya, beliau turut menjelaskan Juhar membuat pelantikkan terhadap Mohd Shafie selepas mengambil kira terhadap jumlah majoriti yang dipunyai oleh Parti Warisan dan sekutunya dalam Pilihanraya Umum ke 14 (PRU-14) lalu.

Terdahulu pada 5 Jun lalu, Musa mengemukakan writ saman yang disokong affidavit bagi memohon pengisytiharan beliau sebagai Ketua Menteri yang sah selepas mengangkat sumpah secara sah di hadapan Yang Dipertua Negeri Sabah pada 10 Mei lalu.

Writ saman itu juga mendakwa pelantikan Mohd Shafie yang mengangkat sumpah pada 12 Mei lalu iaitu selepas Musa mengangkat sumpah sebagai Ketua Menteri, adalah tidak mengikut perlembagaan.