MALAYSIA
Keputusan solat jemaah di masjid dijangka diumum minggu ini - Ahmad Marzuk

Mengulas lanjut, Ahmad Marzuk berkata PKPB yang disambung sehingga 6 Jun memberi gambaran aktiviti Ramadan dan yang berkaitan dengannya termasuk solat Aidilfitri tidak akan ada banyak perubahan. - Gambar BERNAMA
Keputusan berhubung tatacara atau prosedur operasi standard (SOP) mengenai solat berjemaah dan solat Jumaat di masjid sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) dijangka diperoleh minggu ini sebelum ia diumumkan oleh Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Ahmad Marzuk Shaary berkata, perbincangan mengenai solat di masjid sudah dilakukan Jumaat lalu menerusi Mesyuarat Khas Jawatankuasa Muzakarah Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia (MKI).
“Peringkat Pusat belum lagi masuk Kabinet, kita telah buat satu kesimpulan pada Jumaat lalu hasil dari muzakarah tersebut. Kita masih menunggu keputusan daripada Kabinet untuk dibawa kepada Majlis Raja-Raja, dan itu barangkali di bawah kerangka bidang kuasa Sultan Raja Perlis (Tuanku Syed Sirajuddin Syed Putra Jamalullail).
“Kemungkinan dalam minggu ini saya jangkakan akan ada pengumuman daripada Perdana Menteri tetapi kita sedia maklum bahawa Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) dilanjutkan sehingga 9 Jun ini,” katanya selepas hadir program Musa’adah COVID-19 anjuran Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (Yadim) di Kampung Bukit Tebu, di sini, hari ini.
Jelasnya, muzakarah berkenaan mengambil kira pandangan pelbagai pihak termasuk Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan dalam situasi semasa, dimana terdapat pendekatan tertentu boleh dilakukan.
SOP terbabit akan dibentangkan dalam mesyuarat jemaah Kabinet terlebih dahulu sebelum dipersembahkan kepada Majlis Raja-Raja.
Media sebelum ini melaporkan, Perlis memberi kebenaran untuk menunaikan solat Jumaat bersyarat mulai 15 Mei ini sebagai permulaan bagi membolehkan 'syiar Jumaat' dihidupkan kembali di negeri itu.
Pada Ahad, Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dalam satu Perutusan Khas berkata, kerajaan melalui Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) sedang memperhalusi SOP untuk kebenaran bersolat jemaah di masjid dan surau.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami