Kementerian Pendidikan Malaysia hari ini memaklumkan keputusan Peperiksaan Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM) 2016, akan dikeluarkan pada Khamis ini, 19 Januari 2017.

Menurut satu kenyataan kementerian itu, calon-calon boleh mendapatkan keputusan mereka daripada sekolah masing-masing selepas jam 10.00 pagi pada hari yang sama.

“Calon persendirian akan dimaklumkan melalui pos atau mereka boleh menghubungi Jabatan Pendidikan Negeri tempat mereka mendaftar untuk menduduki peperiksaan,” menurut kenyataan itu lagi.

Calon juga boleh menggunakan perkhidmatan semakan keputusan STAM 2016 melalui mySMS 15888. Perkhidmatan ini akan diaktifkan bermula 10.00 pagi, 19 Januari 2017 dan akan ditamatkan pada 11.59 malam 25 Januari 2017.

Untuk 2016, seramai 8,784 calon telah mendaftar untuk menduduki STAM di 224 pusat peperiksaan.

Daripada jumlah 8,784 calon, 2,110 adalah calon Sekolah Kerajaan, Sekolah Bantuan Kerajaan dan Sekolah Agama Bantuan Kerajaan, 4,617 adalah calon Sekolah Menengah Agama Negeri, 680 adalah calon Sekolah Menengah Agama Rakyat, 1,269 adalah calon persendirian manakala 30 orang adalah calon Sekolah Menengah Swasta dan 78 calon luar negara (Kemboja) yang berdaftar dengan KPM.