Anggota Majlis Tertinggi UMNO Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menyifatkan keputusan Tabung Haji (TH) mahu menjual semula tanah yang dibeli daripada 1Malaysia Development Berhad (1MDB) sebagai satu langkah tepat dan matang.

Beliau berkata langkah itu bukan sahaja dapat meredakan keresahan pendeposit, malah dapat mengakhiri perdebatan berhubung isu pembelian plot tanah seluas 0.66 hektar di Tun Razak Exchange (TRX) di Kuala Lumpur bernilai RM188.5 juta itu terutama dalam kalangan pembangkang.

"Ia juga dapat melenyapkan sama sekali dakwaan segelintir pihak yang cuba menimbulkan kebimbangan dalam kalangan pendeposit dengan menyebarkan dakyah-dakyah yang tidak benar berhubung pembelian tanah itu.

"Sehubungan itu saya meminta pendeposit tidak perlu bimbang ... kerajaan telah memberi jaminan setiap simpanan dalam TH akan dibayar semula jika berlaku perkara tidak diingini," katanya kepada pemberita selepas merasmikan majlis penutupan Kursus Asas Jemaah Haji Daerah Bera, di Masjid Bera di sini, hari ini.

Katanya TH mempunyai beberapa anak syarikat untuk menguruskan perniagaan dan pelaburan seperti Tabung Haji Properties, TH Travels, TH Engineering, TH Plantations dengan dana yang tersendiri bagi menambahkan keuntungan yang akhirnya diagihkan kepada pendeposit.

Ismail Sabri yang juga Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani turut melahirkan rasa kesal dengan tindakan pembangkang yang didakwanya sengaja mengambil kesempatan berhubung isu itu untuk menimbulkan kemarahan rakyat kepada kerajaan.

Semalam, Pengerusi TH Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim berkata TH mengambil keputusan untuk menjual semula tanah seluas 0.66 hektar bernilai RM188.5 juta di pusat kewangan Tun Razak Exchange (TRX) di Kuala Lumpur, selepas menerima tiga tawaran daripada pihak yang berminat membeli tanah itu.