Keputusan penerimaan usul tergempar menangguhkan persidangan Dewan Rakyat bagi membincangkan isu rusuhan Kuil Sri Maha Mariamman hanya akan diketahui esok.

Fahmi Fadzil (PH-Lembah Pantai) berkata, usul itu memerlukan masa yang munasabah untuk dimasukkan ke dalam Aturan Mesyuarat.

Katanya, beliau dimaklumkan perkara itu oleh pejabat Yang di-Pertua Dewan Rakyat.

"Kebiasaannya, pada hari Khamis kita ada sesi soal jawab Menteri, sesi soal jawab lisan. Selepas itu kita ada keputusan tentang usul tergempar ini.

"Speaker cuma kata, akan dipertimbangkan. Dan keputusan akan dimaklumkan pada esok hari, untuk usul tergempar 18(1), kerana sekiranya usul itu dibentangkan pada pukul 10 pagi atau sebelumnya, apabila Dewan berjalan, akan terus ada keputusan.

"Memandangkan usul ini dibentangkan selepas 10 pagi (semalam), maka ia akan dipertimbangkan dahulu, dan dimaklumkan kepada Dewan pada Khamis ini," katanya kepada pemberita di Lobi Parlimen, di sini, hari ini.

Semalam, Fahmi dan Datuk Seri Ronald Kiandee (BN-Beluran) telah menghantar usul tergempar di bawah Peraturan Mesyuarat 18(1) bagi membincangkan isu berkenaan.

Peraturan itu memperuntukkan mana-mana Ahli Parlimen boleh mencadangkan penangguhan sidang Dewan Rakyat bagi membincangkan perkara membabitkan kepentingan awam.