Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) memaklumkan 19 kes keracunan metanol dilaporkan kepada Pusat Kesiapsagaan dan Tindakan Krisis (CPRC) Kebangsaan KKM bagi tempoh dari 11 Jun hingga 21 Jun.

Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata tiga kluster keracunan metanol itu melibatkan tiga negeri iaitu lapan kes di Pulau Pinang, enam di Johor dan lima di Negeri Sembilan.

Katanya sampel klinikal diambil daripada kesemua 19 kes untuk analisa ujian metanol di mana lima kes didapati positif metanol manakala satu kes negatif metanol namun menunjukkan gejala dan tanda-tanda klinikal keracunan metanol.

"Hasil ujian makmal untuk 13 kes lagi masih menunggu keputusan," katanya dalam kenyataan pada Sabtu.

VIDEO: Arak beracun mengandungi 30 hingga 50 kali ganda metanol

VIDEO: 39 orang maut, 27 yang lain jatuh sakit gara-gara arak palsu

Dr Noor Hisham berkata punca kejadian keracunan metanol dipercayai disebabkan meminum minuman beralkohol yang dipalsukan berjenama Myanmar Whiskey, Miludeer Beer, Whisky 99 dan Martens Extra Strong.

Episod keracunan metanol bermula di Pulau Pinang pada 11 Jun lepas, yang menyaksikan lapan warganegara Myanmar dikejarkan ke Hospital Pulau Pinang, dengan dua daripadanya meninggal dunia.

"Sehingga semalam (Jumaat), satu kes keracunan metanol masih dirawat dan dalam keadaan kritikal, manakala lima lagi sihat dan telah discaj," katanya.

Johor yang menerima laporan keracunan metanol sejak 18 Jun melibatkan enam kes termasuk membabitkan tiga warganegara asing, menyaksikan empat daripadanya meninggal dunia.

"Seorang masih dirawat di Hospital Sultanah Aminah (HSA) dalam kedaan kritikal dan seorang lagi dilaporkan mengalami kabur penglihatan dan sedang dirawat di wad biasa di Hospital Sultan Ismail (HSI), Johor Bahru," katanya.

Dalam kes keracunan metanol di Negeri Sembilan yang dilaporkan pada Khamis melibatkan lima kes termasuk dua kematian Port Dickson, Dr Noor Hisham berkata dua mangsa masih kritikal manakala seorang kini ditempatkan di wad biasa.

Setakat ini, satu operasi di Pulau Pinang berjaya merampas minuman beralkohol dan peralatan yang digunakan oleh sebuah premis membuat pembungkusan semula minuman beralkohol secara tidak sah manakala di Johor, rampasan untuk beberapa jenis minuman beralkohol dipalsukan dilakukan ke atas tiga buah premis yang dipercayai mengedarkan minuman itu.

Beliau menasihati pengguna untuk mengelakkan daripada mengambil minuman beralkohol yang dihasilkan sendiri (home-brewed) atau yang dijual dengan harga murah, mahupun yang meragukan serta perlu memastikan setiap produk yang dibeli mempunyai label mengandungi maklumat lengkap.

-- BERNAMA