Kerajaan dijangka mengadakan perbincangan meja bulat pada pertengahan bulan depan bagi membincangkan prosedur operasi standard (SOP) yang lebih terperinci untuk dijadikan sebahagian daripada undang-undang berkaitan perkahwinan bawah umur.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Dr Mujahid Yusof berkata perbincangan itu akan disertai pengamal undang-undang, hakim syarie, ahli akademik dan alim ulama.

"SOP yang dibuat sebelum ini (berkaitan perkahwinan bawah umur) berada di luar undang-undang, maknanya boleh ikut dan boleh juga tidak ikut sebab ia bukan dalam undang-undang. Yang ini (keputusan perbincangan) akan diletakkan di bawah kaedah dan tatacara bagi memastikan semua negeri mematuhi SOP yang kita buat," katanya di sini hari ini.

Mujahid yang juga Naib Presiden Parti Amanah Negara (Amanah), ditemui pemberita selepas menghadiri sambutan ulang tahun ketiga Amanah, mengulas tentang kes terbaharu perkahwinan kanak-kanak berumur 15 tahun di Tumpat, Kelantan baru-baru ini.

Mengulas lanjut, Mujahid berkata perbincangan meja bulat yang akan dibuat dalam beberapa peringkat itu turut memperhalusi aspek-aspek yang longgar seperti hukuman ke atas mereka yang tetap berkahwin dengan kanak-kanak bawah umur walaupun selepas tatacara itu diperkenalkan.

"Mengikut undang-undang syariah sekarang, mereka yang berkahwin dengan kanak-kanak bawah umur boleh dikenakan denda sehingga RM1,000 tetapi mereka selepas itu masih boleh mendaftarkan perkahwinan asalkan ia tidak bertentangan dengan hukum syariah.

"Jadi adakah kita mahu mengekalkan undang-undang yang sama... kalau mereka berkahwin juga macam mana kita nak mengklasifikasikan perkahwinan itu, sah atau tidak sah. Bagaimana pula dengan perlindungan kanak-kanak yang berkahwin itu selepas kita pisahkan," katanya.

Aspek lain yang akan turut diteliti ialah penjagaan anak hasil perkahwinan tersebut, kata Mujahid.

Semalam, Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail mencadangkan usia minimum perkahwinan dinaikkan kepada 18 tahun bagi melindungi kesihatan, keselamatan dan hak kanak-kanak di negara ini.

Kertas kerja mengenainya akan disediakan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia serta Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat sebelum dibentangkan dalam Mesyuarat Menteri Besar dan Ketua Menteri bagi mendapatkan sokongan.

--BERNAMA