Putrajaya sedang dalam pertimbangan untuk meringankan lagi beban hutang negara melalui langkah penjualan beberapa aset kerajaan, kata Tun Dr Mahathir Mohamad.

Bagaimanapun, menurut Perdana Menteri, aset tersebut haruslah yang telah dikenalpasti tidak memberi sumbangan kepada negara.

Katanya, pertimbangan itu timbul susulan pertemuan beliau dengan pelabur dari British, apabila ada yang mengutarakan cadangan untuk membeli beberapa aset milik negara.

“Saya berminat untuk menjual beberapa aset sebagai usaha untuk meraih pendapatan.

"Hutang negara masih di kadar yang tinggi, tetapi jika kita boleh menjual aset ini, yang telah dikenalpasti tidak membawa keuntungan, kita mungkin boleh kurangkan hutang,” katanya pada sidang media bersama wartawan Malaysia sempena lawatan kerja tiga hari beliau ke London pada Isnin.

Terdahulu pada hari terakhir lawatan kerja beliau, Dr Mahathir menghadiri satu dialog perniagaan bersama pelabur British anjuran Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) dan Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE), dengan kerjasama Majlis Perniagaan United Kingdom-Asean (UKABC) dan Maybank.

Diminta mengulas lebih lanjut mengenai jenis aset yang mungkin dalam pertimbangan untuk dijual, Dr Mahathir tidak menjelaskannya, sebaliknya berkata, negara masih mempunyai aset yang banyak.

“Kita ada banyak aset… kita ada tanah, syarikat milik kerajaan, fasiliti, institusi yang dimiliki kerajaan.. dan ada di antara aset-aset ini yang sedang kita pertimbangkan,” tambahnya.