Ahli perniagaan, Low Taek Jho atau lebih dikenali sebagai Jho Low akan ditangkap selepas semua maklumat mengenai isu dana yang diseleweng dari dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB) diperoleh.

Menteri Dalam Negeri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, tindakan tegas juga akan diambil dari sudut undang-undang kanun jenayah atau rasuah kepada Jho Low dalam masa terdekat.

"Ada orang tanya saya kenapa tak tangkap Jho Low, dia kata kena tunggu dapat sedikit maklumat tepat.

"Bagi saya sudah cukup maklumat, semua orang tahu bahawa beliau adalah antara penjenayah utama yang menyebabkan skandal 1MDB jadi di antara skandal terbesar dunia.

"Saya tidak mengatakan saya hendak mendahului peraturan undang-undang tetapi dalam kes-kes yang mana sudah jelas dan nyata, termasuk pihak yang terbabit yang dinamakan, maka tindakan yang tegas dari sudut undang-undang baik dari sudut undang-undang kanun jenayah atau undang-undang rasuah maka tindakan sewajarnya perlu diambil dengan berapa segeranya," katanya semasa berucap pada majlis Perhimpunan Bulanan Kementerian Dalam Negeri di sini hari ini.

Pada Selasa, Kementerian Kewangan menemui satu lagi skandal daripada fail merah membabitkan nilai RM9.4 bilion yang dipercayai mempunyai hubung kait dengan 1Malaysia Development Bhd (1MDB) dan Jho Low.

Menteri Kewangan, Lim Guan berkata, skandal itu membabitkan syarikat Suria Strategic Energy Resources Sdn Bhd (SSER) yang mana sudah membayar 88 peratus atau RM8.3 bilion walaupun hanya 13 peratus kerja yang sudah siap dilakukan.

Sementara itu, Muhyiddin berkata, kementeriannya kini meletakkan sasaran baru iaitu menjadikan Malaysia antara negara paling selamat di dunia.